Sindiket dadah beroperasi di kedai runcit tumpas

Sindiket dadah beroperasi di kedai runcit tumpas

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Helah sebuah sindiket menjadikan sebuah kedai runcit di Taman Universiti di Skudai dekat sini, sebagai stor penyimpanan pelbagai jenis dadah sejak awal tahun ini terbongkar hasil serbuan, 5 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil serbuan, tiga lelaki warga tempatan termasuk seorang pemilik kedai runcit berusia antara 22 tahun hingga 29 tahun ditahan.

“Polis turut merampas masing-masing satu kilogram (kg) syabu dan ganja serta 1.84 kg ekstasi dianggarkan bernilai RM346,225.

“Kami turut menyita lapan kenderaan termasuk sebuah kereta BMW serta wang tunai RM1,000, dengan jumlah sitaan keseluruhan berjumlah RM248,60.

“Jumlah dadah dirampas dipercayai boleh digunakan 12,697 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.

Balveer Singh berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM594,825.

Beliau berkata, kedai runcit berkenaan dijadikan penyimpanan dadah yang diperoleh dari negara jiran sebelum diedarkan ke pasaran tempatan seluruh Johor.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dari sebarang jenis dadah.

Menurutnya, semakan rekod terhadap ketiga-tiga suspek mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau termasuk pemilik kedai runcit berusia 29 tahun.

“Seorang lagi lelaki berusia 22 tahun memiliki satu rekod kesalahan dadah serta tiga rekod jenayah.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bekalan dadah yang diperoleh dan pembabitan suspek lain.

“Kesemua suspek dibawa Mahkamah Majistret Johor Bahru dan dibenarkan ditahan reman selama lima hari mulai 6 Mac hingga 10 Mac bagi reman pertama, manakala bagi reman kedua dibenarkan selama tujuh hari sehingga 17 Mac,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top