Rasuah: Mahkamah Tinggi kekalkan hukuman penjara setahun, denda RM80,000 terhadap lelaki

am@hmetro.com.my

Melaka: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara setahun dan denda RM80,000 terhadap bekas anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas lapan pertuduhan memberi rasuah kepada rakan sekerja untuk melindungi pengusaha lori lebih muatan, tujuh tahun lalu.

Hakim DJP Suria Kumar memutuskan demikian selepas menolak rayuan Che Fadzlie Izwan Che Johari, 39, terhadap sabitan dan hukuman diputuskan terhadapnya pada 18 Mac 2025.

Menurutnya, mahkamah mendapati hakim bicara Mahkamah Sesyen membuat pertimbangan sewajarnya terhadap prinsip hukuman yang berkenaan, faktor mitigasi dan pemberatan sebelum menjatuhkan hukuman.

“Rayuan perayu tiada merit dan sabitan oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah selamat.

“Oleh itu rayuan perayu ditolak dan sabitan hukuman dikekalkan,” katanya ketika memberikan penghakiman lisannya.

Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dan Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham yang mewakili perayu memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda bagi memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau memberi beberapa alasan termasuk perayu sudah diberhentikan kerja dan kini menjadi pemandu E-hailing selain mempunyai rekod baik selama ini dengan tidak pernah cuba melarikan diri dan hadir pada setiap prosiding di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari membantah permohonan itu kerana tiada keadaan istimewa dikemukakan peguam, namun mencadangkan jumlah jaminan ditingkatkan jika mahkamah cenderung menggunakan budi bicara memberikan penangguhan.

Hakim membenarkan permohonan perayu, menetapkan rayuan difailkan selewat-lewatnya esok serta menaikkan jaminan daripada RM22,000 kepada RM30,000.

Perayu juga diwajibkan melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Che Fadzlie Izwan didakwa memberi rasuah berjumlah RM4,250 kepada anggota JPJ lain sebagai upah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan.

Kesalahan itu dilakukan dalam lapan perjumpaan berasingan di JPJ Melaka, Bukit Katil antara 1 Januari 2019 dan 31 Disember 2020 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman setahun penjara dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top