Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek turun padang ke Yong Peng, Johor pagi ini bagi mendapatkan sendiri perkembangan berhubung kejadian yang meragut nyawa seorang pelajar di sebuah sekolah di kawasan berkenaan.
Dapatkan sendiri maklumat kes
Menerusi kenyataan yang dikongsikan, beliau memaklumkan telah menerima taklimat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat serta pihak sekolah berkaitan kronologi kejadian dan tindakan yang sedang dijalankan.
#
Beliau turut meluangkan masa bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, sambil menyifatkan kehilangan seorang anak merupakan sesuatu yang amat berat untuk ditanggung keluarga.
Dalam pada itu, berdasarkan maklumat PDRM, mangsa telah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Seorang remaja lelaki ditahan dan direman
Setakat ini, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Fadhlina menegaskan semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) perlu diperiksa secara menyeluruh.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa,” katanya.
Antara perkara yang akan diberi perhatian termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, selain aspek kawalan keselamatan dan rondaan di kawasan sekolah.
Syarikat kawalan keselamatan yang terlibat turut diminta memberikan kerjasama bagi membantu proses semakan berhubung aspek keselamatan di sekolah tersebut.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil sekiranya hasil pemeriksaan mendapati berlaku kecuaian atau terdapat tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya.
Pada masa sama, KPM menegaskan pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan tidak akan mendahului siasatan yang sedang dijalankan.

Sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan susulan kejadian berkenaan.
Beliau turut meminta semua pihak memberikan ruang kepada keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang berjalan bagi memastikan perkara sebenar dapat dikenal pasti.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek




