Keluarga kepada pelajar Tingkatan Empat, Yap Shing Xuen yang maut dalam kejadian tragis di sebuah sekolah pada 14 Oktober lalu, memfailkan saman sivil terhadap 18 pihak termasuk Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Dakwa langgar kewajiban masing-masing hingga sebabkan kematian
Memetik laporan Malay Mail, ibu mangsa, Wong Lee Ping dan kakaknya mendakwa keluarga remaja terbabit, pihak berkuasa sekolah serta agensi kerajaan melanggar kewajipan masing-masing sehingga menyebabkan kepada kematian pelajar berusia 16 tahun itu.
Antara yang dinamakan sebagai defendan ialah remaja lelaki terbabit bersama ibu bapanya, guru kelas, pengetua serta guru yang bertanggungjawab dalam kaunseling dan hal ehwal murid.

Defenden pertama didakwa alami masalah mental sejak 2020
Turut dinamakan ialah pegawai PPD Petaling Utama, Pengarah Pendidikan Selangor, Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan, Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru, Ketua Pengarah Kesihatan, Menteri Kesihatan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kerajaan Malaysia.
Sebagai pentadbir harta pusaka, Lee Ping turut menuntut ganti rugi khas berjumlah RM120,602 bagi kos pengebumian Shing Xuen, selain ganti rugi am yang akan ditaksir Mahkamah Tinggi.
Menurut dokumen mahkamah, Lee Ping berkata tragedi itu boleh dielakkan sekiranya langkah pencegahan sewajarnya diambil.
“Defendan pertama (remaja lelaki itu) telah menunjukkan masalah kesihatan mental sekurang-kurangnya sejak 2020.
Adalah munasabah untuk dijangka oleh defendan kedua dan ketiga (ibu bapa remaja berkenaan) bahawa anak mereka mempunyai masalah kesihatan mental dan boleh mendatangkan ancaman kepada dirinya sendiri serta orang lain.
“Perkara sama juga terpakai kepada defendan keempat dan kesembilan (pihak berkuasa sekolah) apabila remaja itu mendaftar di sekolah berkenaan pada atau sekitar 2024,” katanya.
Foto: Berita Harian
Lee Ping mendakwa kegagalan melaksanakan intervensi, termasuk penilaian kesihatan mental, menyebabkan risiko terhadap keselamatan pelajar lain tidak ditangani dengan sewajarnya.
Peguam keluarga, Surendra Ananth menyatakan saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 29 Oktober ini.
Sumber: Malay Mail (Kenneth Tee)




