Bandaraya Gaza: Israel pada Sabtu berkata tenteranya cuba membunuh pemimpin tertinggi Hamas di Semenanjung Gaza dalam serangan udara ke atas sebuah apartmen yang menurut pegawai tempatan mengorbankan lima orang, termasuk empat wanita.
Serangan sebelum subuh itu berlaku pada ulang tahun mengikut kalendar Yahudi serangan 7 Oktober 2023, hari paling dahsyat dalam sejarah Israel yang kemudian mencetuskan serangan besar-besaran Israel di Gaza.
Tentera Israel berkata, serangan itu menyasarkan Ali al-Amoudi, yang disifatkan sebagai tangan kanan pemimpin Hamas yang terbunuh, Yahya Sinwar, dan mendakwa beliau terbabit dalam perancangan serangan 7 Oktober.
Israel berkata, pihaknya sedang menilai sama ada al-Amoudi terbunuh atau cedera.
Tentera Israel mendakwa serangan itu dilancarkan selepas mendapat maklumat bahawa al-Amoudi berada di dalam sebuah bangunan pangsapuri, sambil menuduh Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
“Hari ini, al-Amoudi ialah tokoh Hamas paling kanan di Semenanjung Gaza dan terbabit secara langsung dalam aktiviti Hamas serta usaha membina semula organisasi itu untuk perang. Dia (al-Amoudi) diserang bagi menghapuskan ancaman berkenaan,” menurut kenyataan tentera.
“Langkah diambil bagi mengurangkan kemudaratan terhadap orang awam, termasuk penggunaan senjata tepat,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya kesal atas sebarang kemudaratan yang menimpa individu yang tidak terbabit.
Israel membunuh Sinwar di Gaza pada Oktober 2024, yang dilihat ramai rakyat Israel sebagai kemenangan simbolik besar, walaupun Israel berikrar untuk terus memusnahkan Hamas selepas gencatan senjata yang dipelopori Amerika Syarikat diisytiharkan setahun lalu.
Amoudi dianggap sebagai tokoh tertinggi Hamas di Semenanjung Gaza. Pemimpin kumpulan itu, Khalil al-Hayaa, menetap di Qatar dan cuba mendapatkan kelebihan untuk Hamas melalui rundingan diplomatik.
Hayaa bersetuju pada Julai terhadap pelan Amerika Syarikat (AS) supaya Hamas menyerahkan senjatanya, yang disifatkan Presiden Donald Trump sebagai satu perkembangan penting, namun Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolaknya sebagai tidak ikhlas.
Seorang pegawai di Hospital Al-Shifa di Gaza City memberitahu AFP bahawa hospital itu menerima mayat lima mangsa dan sejumlah mangsa cedera pada waktu subuh selepas serangan udara di kawasan Rimal.
Menurut hospital, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita dan anak perempuan mereka, selain seorang lelaki.
Mahmoud Bassal, jurucakap agensi pertahanan awam yang beroperasi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas, berkata dua peluru berpandu mengenai apartmen itu secara langsung, menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada bangunan.
Pengarah hospital berkata dua daripada lima mangsa ialah penganut Kristian.
Orang ramai berkabung pada Sabtu di Gereja Ortodoks Greek Saint Porphyrius di Bandaraya Gaza bagi pengebumian dua wanita berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Maysaa Abu Daoud, 56, dan anak perempuannya, Mary Al-Najjar, 36.
Ihab Ayad, saudara kepada kedua-dua wanita itu, berkata mereka hanya menjalani kehidupan seperti biasa di rumah ketika Israel melancarkan serangan.
“Kami tidak membaling batu atau melancarkan roket. Jika ada kanak-kanak antara kami membawa batu, mereka memanggilnya pengganas, pembunuh. Tetapi mereka memiliki senjata paling berkuasa dan memusnahkan segala-galanya,” katanya.
Kira-kira 1,000 penganut Kristian, kebanyakannya Ortodoks, tinggal di wilayah Palestin itu. Masyarakat Kristian Palestin yang lebih besar menetap di Tebing Barat, walaupun penghijrahan meningkat sejak perang bermula.
Serangan 7 Oktober yang diketuai Hamas mengorbankan 1,221 orang, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.
Serangan besar-besaran Israel sebagai tindak balas menyebabkan sebahagian besar Gaza musnah dan mengorbankan lebih 74,200 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas dan angkanya dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pasukan Israel membunuh lebih 1,440 orang sejak pengumuman gencatan senjata setahun lalu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Tentera Israel mengenal pasti lima anggota tenteranya yang maut dalam tempoh sama, selain seorang kontraktor awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




