Selesaikan Lagu Raya Tertangguh Lebih Setahun, Daiyan Trisha Tampil Kelainan Dengan ‘Jom Raya’

Selesaikan Lagu Raya Tertangguh Lebih Setahun, Daiyan Trisha Tampil Kelainan Dengan ‘Jom Raya’

Ketibaan Syawal sentiasa dinanti oleh ramai kerana ia menjadi detik istimewa untuk berkumpul bersama keluarga dan meraikan lebaran dengan penuh keceriaan.

Bagi penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha, 31, kedatangan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna apabila dia tampil dengan single raya terbaharunya, Jom Raya.

Lagu yang merupakan kolaborasi pertamanya bersama Alfie Zumi itu telah dilancarkan pada 28 Februari, memberikan kelainan dengan gabungan elemen moden dan tradisional.

Menariknya, lagu ini sebenarnya telah dicipta setahun lalu namun tertangguh proses rakamannya kerana kekangan masa.

“Ini merupakan lagu raya pertama saya dan sangat mengujakan. Sebenarnya lagu ini sudah pun separuh jalan disiapkan pada tahun lalu tetapi disebabkan kekangan masa, saya tangguh dahulu.

“Tahun ini saya hanya membuat beberapa penambahbaikan dan terus merakamkan Jom Raya. Rasanya ini antara projek paling mudah dan paling seronok untuk dihasilkan,” katanya yang sebelum ini dikenali menerusi drama Projek: High Council.

Sebagai komposer, Daiyan juga terlibat dalam penulisan lirik bersama Glowrush dan Efry Arwis.

Dia menyifatkan kerjasama mereka berjalan lancar kerana masing-masing sudah memahami gaya dan kehendak muzik yang ingin ditampilkan.

Menariknya, Jom Raya tercetus daripada pemerhatian Daiyan terhadap trend pengguna media sosial yang gemar berkongsi pick up line bertemakan jodoh setiap kali musim perayaan.

“Saya perhatikan ramai antara mereka suka beri pick up line berkaitan dengan jodoh di media sosial setiap kali tibanya lebaran. Saya selalu sahaja nampak ayat-ayat tersebut digunakan dan ia sangat menarik perhatian.

“Disebabkan itulah saya mahu realisasikan Jom Raya ini dengan menggunakan patah perkataan yang menarik. Saya mahu hasilkan sebuah lagu raya yang mengandungi pick up line dan disukai oleh semua pendengar,” jelasnya lagi.

Berkongsi mengenai kolaborasinya bersama Alfie Zumi, Daiyan mendedahkan mereka sebenarnya merancang untuk bekerjasama dalam projek lain.

Namun, dia merasakan Alfie adalah pilihan terbaik untuk menyertai Jom Raya, bersesuaian dengan konsep dan tema lagu tersebut.

“Sebenarnya lagu ini ada dua versi termasuklah versi solo. Bagi saya kedua-dua versi mempunyai keistimewaan tersendiri dan pendengar boleh menikmati mana-mana versi yang mereka suka. Untuk Jom Raya versi solo, saya akan lancarkan pada 21 Mac ini di semua platform digital.

“Jom Raya merupakan gabungan antara vibe moden dan tradisional. Kita cuba untuk penuhi selera semua pendengar dan saya harap mereka berpuas hati,” tambahnya.

Konsep Video Muzik Yang Lebih Realistik

Jika kebanyakan video muzik (MV) lagu raya menampilkan kemeriahan suasana kampung, Daiyan memilih pendekatan berbeza dengan menjadikan rumah moden di tengah bandar sebagai lokasi utama penggambaran.

Dia mahu memberi gambaran realistik kepada kehidupan masyarakat hari ini yang meraikan lebaran di kediaman bandar tanpa mengabaikan semangat keakraban bersama keluarga dan sahabat.

“Saya mahu mereka tonton dahulu MV ini dan nilaikan kemudian. Pasti ramai di antara kita boleh merasainya,” katanya yang turut melibatkan Kasih Leona dan Jazmy Juma dalam video muzik berkenaan.

MV ini diarahkan oleh Abu Hsvii, yang berjaya membawa elemen kehangatan dan kemesraan Syawal ke dalam visualnya.

Single Jom Raya telah dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari, manakala video muziknya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Daiyan Trisha.

Scroll to Top