Ipoh: Sebanyak 17 warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membabitkan kegiatan penipuan dan promosi perjudian dalam talian.
Daripada jumlah itu, 11 lelaki dan dua wanita didakwa bersama-sama kepada suatu pakat jahat jenayah melakukan penipuan dengan menawarkan pembayaran hutang tidak wujud secara dalam talian, di rumah beralamat No 1, Bercham Permai 10 di sini, kira-kira 4.30 petang pada 17 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, empat lagi lelaki warga China didakwa menjadi ahli kepada suatu pakat jahat jenayah, yang mempromosikan perjudian dalam talian yang mempunyai elemen pertaruhan di sebuah premis di No 9 Bercham Permai 7, kira-kira 3.30 petang pada 18 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 serta penjara hingga tiga tahun dan denda maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas, jika sabit kesalahan.
Majistret Norizan Riduan tidak membenarkan jaminan terhadap 13 tertuduh bagi kes pertama, sementara jaminan RM5,000 dengan dua penjamin warganegara selain perlu melapor diri di balai berhampiran bagi kes kedua.
Mahkamah menetapkan 24 Jun ini bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin dan Pegawai Pendakwa Inspektor G Nanthakumar, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nur Fazliana Mohamad Fisol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




