Ttak kisah sapu keliling'

Ttak kisah sapu keliling'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Meskipun lebih dikenali sebagai kompoSer lagu kerohanian dan nasyid, namun Hafiz Hamidun, 42, masih juga mencipta lagu genre lain yang didapati sesuai untuk dirakamkan oleh penyanyi lain.

Bagi Hafiz, ilham menghasilkan lagu yang dikurniakan Allah kepadanya membuatkan dia ingin karya dicipta itu dapat dikongsi bersama orang lain mengikut kesesuaian genre dan vokal masing-masing.

“Tidak semua lagu dicipta itu sesuai dengan vokal saya walaupun saya juga penyanyi. Kadang-kadang bila dapat ilham satu-satu melodi, saya sudah bayangkan ia untuk dinyanyikan oleh siapa?, ketika itu, masih ‘demo’ sahaja.

“Lirik pun ada yang sudah siap, kadang-kadang itu lirik baharu separuh siap dan ada juga yang lirik masih tiada. Tetapi, sebagai pencipta lagu berkenaan, memang kadangkala saya sudah fikirkan penyanyinya.

“Apapun, saya ini memang suka buat semua benda. Saya penyanyi, tulis lagu, saya buat lirik, termasuk susunan muzik pun, penerbit lagu, poster lagu dan macam-macam lagi. Itulah saya,” katanya.

Hafiz kini tampil mencipta lagu irama asli tradisional Melayu, Salam Kaut dinyanyikan ‘Ratu Irama Malaysia’, Noraniza Idris atau Kak Ani yang muzik video (MV) kini sudah ditayangkan di YouTube.

Menurut Hafiz, lagu Salam Kaut itu memang khas dicipta untuk Noraniza dan dia sendiri ‘tebalkan muka’ bertemu serta berbincang dengan penyanyi berkenaan disebabkan ciri vokal yang sesuai.

“Saya sebenarnya rasa macam dah lama tidak dengar lagu baharu irama asli tradisional Melayu daripada Kak Ani. Jadi, bila dapat ilham lagu Salam Kaut, saya terus teringat pada suaranya dan nak bagi lagu.

“Harapan saya nak sangat Kak Ani yang nyanyikannya. Selepas hubungi Kak Ani, jumpa serta berbincang, Alhamdulillah dapat kerjasama baik dan dia pun suka dengan lagu Salam Kaut itu.

“Lebih buat saya tak sangka, bila ‘teaser’ lagu ini dimuatnaik di media sosial, ramai suka dan buat ‘challenge’ tarian dalam kalangan generasi muda kita macam pelajar sekolah, penuntut universiti serta penari tradisional.

“Jadi, bagi saya tiba masa sekarang kira raikan ‘trend’ lagu irama asli tradisional Melayu yang kembali semula. Ini warisan seni budaya kita yang harus dipertahankan dan seronok tengok penerimaan anak muda,” ujarnya.

Jelas Hafiz lagi, melihatkan penerimaan sangat positif terhadap lagu irama asli tradisional Melayu itu sebenarnya jelas menunjukkan betapa warisan seni budaya kita berada pada kelas tersendiri.

Menurutnya lagi, industri seni negara memiliki ramai penyanyi lagu irama asli tradisional Melayu yang bagus vokalnya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Asmidar, Shiha Zikir, Bob Yusof dan Syura.

Apatah lagi, kebanyakan penyanyi lagu irama asli tradisional Melayu ini pernah ada pengalaman bekerja dengan pemuzik dan komposer, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Kata Hafiz, lagu irama asli tradisional Melayu ciptaan arwah Pak Ngah sampai sekarang banyak yang ‘evergreen’, popular dan ramai menyanyikannya termasuk lagu untuk Hari Raya Aidilfitri.

“Apa yang saya cuba buat untuk lagu Salam Kaut ini adalah bagi mewarnai dan menyemarakkan ‘trend’ irama asli tradisional Melayu yang kita tengok muncul semula dan ramai beri sambutan sangat baik.

“Walaupun saya dengar ada yang kata, saya macam nak ‘gantikan’ arwah Pak Ngah, itu bukan niat saya. Tujuan saya untuk hiburkan pendengar dengan lagu irama asli tradisional Melayu kita.

“Allahyarham Pak Ngah, pada saya seorang pemuzik dan komposer hebat. Lagu ciptaan arwah memiliki air lagu sentuhannya sendiri dan saya dengan cara saya. Tetap ada beza masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, Hafiz menyifatkan industri muzik tanah air masa kini berkembang pesat seiring perubahan zaman, namun warisan seni budaya wajar diteruskan untuk dikenali generasi akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top