redzuan.muharam@hmetro.com.my
SUDAH lebih sedekad berlalu, namun serangan letupan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, Selangor kekal menjadi sejarah hitam buat yang terkesan kerana diklasifikasikan sebagai serangan pertama kumpulan militan Daish di negara ini.
Insiden pada 28 Jun 2016 itu berlaku dalam Ramadan dan menyaksikan lapan mangsa terbaring bergelimpangan dan bermandi darah selepas terkena serpihan bom tangan angkara individu yang membaling bahan letupan berkenaan.
Antara mangsa terbabit adalah suami isteri yang datang ke kelab malam itu bagi meraikan ulang tahun kedua perkahwinan, namun detik itu menjadi mimpi ngeri buat mereka selepas ‘dihadiahkan’ dengan letupan bom.
Dua lelaki terbabit iaitu Imam Wahyudin Karjono, 31, dan Jonius Ondie, 36, dihukum penjara 25 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Mac 2017.
Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyokong kumpulan militan Daish dan pengeboman kelab malam Movida di Puchong, pada Jun 2016 sebaik tuduhan dibacakan secara berasingan.
Nordin menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap tuduhan membaling dan meletupkan bom tangan di kelab malam Movida manakala penjara 10 tahun bagi setiap tertuduh atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.
Imam turut menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada militan Daish dengan melakukan sumpah setia dalam Telegram Kumpulan Gagak Hitam manakala Jonius didakwa menyokong Daish menerusi kumpulan sama.
Sempena sambutan ulang tahun ke-35 Harian Metro, wartawan sambilan, Mohd Hasbi Sidek, 40, atau Hasbi mengimbas semula kenangan ketika ditugaskan membuat liputan kes berkenaan.
Berkongsi pengalamannya, Hasbi berkata, beliau bertugas sebagai wartawan di meja jenayah di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur ketika itu dan dalam keadaan bersedia kerana bekerja pada syif malam.
“Saya di pejabat ketika itu sebelum menerima maklumat awal daripada rakan wartawan jenayah lain mengenai letupan di sebuah kelab malam di Bandar Puchong Jaya, Puchong.
“Ketika itu, saya belum pasti apa sebenarnya yang berlaku, namun tidak berlengah kerana terus bergegas ke lokasi kejadian bersama beberapa rakan wartawan jenayah lain.
“Seingat saya, kejadian berlaku sekitar tengah malam atau awal pagi dan sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dilaporkan cedera difahamkan sudah dihantar ke hospital,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan dan kini bertugas sebagai wartawan sambilan di Negeri Sembilan.
Menurut Hasbi, hasil tinjauannya ketika itu mendapati kawasan berkenaan ditutup dengan pita polis, namun dapat melihat kesan serpihan daripada letupan.
Katanya, maklumat awal diterima ketika itu adalah pengunjung sebuah bar di kelab malam berkenaan dibaling dengan molotov cocktail (bom petrol) ketika sedang menonton perlawanan Euro di televisyen, namun belum pasti siapa suspek atau dalangnya.
“Seperti biasa, apabila tiba di lokasi kejadian, kami akan cari maklumat dengan menemu bual orang awam yang menjadi saksi kejadian atau dapatkan polis.
“Tapi jam sudah 2 pagi ketika itu jadi sukar untuk menghubungi polis bagi mendapatkan maklumat mengenai punca sebenar kejadian atau mangsa yang terbabit.
“Pada awalnya, saya dan rakan wartawan yang bertugas menyangka insiden itu bermotifkan kongsi gelap atau dendam.
“Tapi agak terkejut juga selepas dapat pengesahan daripada polis yang insiden itu didalangi kumpulan militan kerana tak sangka berada di lokasi pengganas,” katanya.
Meskipun begitu, Hasbi menganggap peluang membuat liputan kes berkenaan sebagai pengalaman berharga buatnya yang ketika itu baru dua tahun bergelar pengamal media.
“Kalau tanya saya, feel buat liputan di kawasan serangan pengganas waktu itu kurang kerana tak tahu daripada awal mengenainya.
“Tiada cabaran yang sukar waktu itu cuma kena berjaga sehingga ke Subuh dan hanya sahur di tepi jalan dengan makan mi goreng mamak.
“Saya pulang ke rumah antara jam 6 atau 7 pagi sebelum tugas membuat liputan susulan disambung rakan setugas.
“Walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu, saya boleh katakan pengalaman membuat liputan kes itu yang menarik dalam kerjaya sebagai wartawan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




