RAUB: “Pak Long ada dalam rumah!”
Itu laungan terakhir seorang warga emas yang sempat menyahut panggilan anak saudaranya ketika terperangkap dalam kebakaran rumah namun usaha penduduk menyelamatkannya gagal ekoran api marak, bahang panas dan risiko percikan arus elektrik.
Abdul Hamid Jaafar, 80, yang dipanggil Pak Long dalam kalangan sanak saudaranya masih mampu berjalan perlahan-lahan selepas diserang angin ahmar tahun lalu, ditemukan terperangkap dan meninggal dunia di ruang tamu rumahnya dalam kejadian kebakaran di Kampung Ajai, Kuala Dong di sini, kelmarin.
Memuatkan artikel berkaitan…
Anak saudara mangsa dikenali sebagai Mohamad, 30, berkata, dia menerima maklumat tentang kejadian menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 9.45 malam sebelum bergegas ke lokasi yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Katanya, ketika tiba, api sudah marak dan hanya ibu saudaranya, Norjah@Rogayah Yahya, 78, berada di luar rumah.
“Ketika saya sampai, api sedang marak. Saya cuba panggil Pak Long dan dia menyahut dari dalam rumah, tetapi suaranya kedengaran seperti menahan kesakitan.
“Saya bersama penduduk kampung cuba membantu memadam kebakaran. Dari celah tingkap, saya nampak Pak Long bersandar di dinding ruang tamu dalam keadaan lemah,” katanya ketika ditemui di Kampung Ajai.
Mohamad berkata, penduduk bagaimanapun tidak dapat memasuki rumah untuk membawa keluar mangsa berikutan terdapat percikan arus elektrik selain api marak dan bahang panas.
Sementara itu, menantu mangsa, Jarilah Jamidin, 53, berkata, Abdul Hamid dan isterinya tinggal berdua dan pergerakan mereka sentiasa dipantau keluarga menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam rumah.
“Sejak diserang strok pada November tahun lalu, pergerakan ayah memang terbatas. Namun, dia masih mempunyai semangat untuk bergerak dan berusaha berjalan sendiri, cuma tidak boleh bergerak laju.
“Saya pernah menjaganya di rumah selama hampir tiga minggu selepas diserang strok. Pada awalnya keadaannya agak serius dan pergerakannya kaku tetapi dengan usaha dan semangatnya, dia mula boleh bangun dan bergerak sendiri,” katanya. – UTUSAN




