Penyanyi Kay Khydir kembali mencuri tumpuan dengan lagu terbarunya berjudul Ulang, yang menampilkan kolaborasi bersama Shiha Zikir.
Lagu ini hadir dengan sentuhan Pop Latin yang ringan, menjadikannya sesuai dengan cita rasa pendengar muzik tempatan.
Dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Firdaus Rahmat, Iqie Hugh dan John Jeeves, karya ini menjadi satu pengalaman baharu buat Kay.
“Sebenarnya sudah lama saya tertunggu-tunggu untuk menyanyikan lagu genre sebegini dalam kerjaya muzik saya. Saya memang suka muzik ala Pop Latin. Menambah lagi keistimewaan, saya diberi pula peluang untuk berduet dengan sahabat saya Shiha Zikir yang sangat saya kagumi,” kata Kay.
Berkongsi keterujaannya, Kay juga meluahkan rasa bangga kerana dapat bekerja dengan pasukan yang berpengalaman.
“Memang seronok rasanya dapat bekerjasama dengan insan-insan hebat seperti Shiha, Firdaus, Iqie dan John. Hasil kerja mereka pun sudah kerap mara ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu,” tambahnya lagi.
Selain daripada rakaman lagu, video muzik Ulang turut menjadi perhatian. Kay berpeluang membintangi video muzik tersebut yang diterbitkan oleh Shiha Zikir Empire (SZE), dengan konsep yang dikendalikan oleh Shiha sendiri bersama Arul Arifin Baharun.
Menurut Kay, pengalaman merakamkan muzik video Ulang cukup bermakna baginya.
“Proses menyiapkan video muzik lagu ini adalah kenangan indah yang tak dapat saya lupakan. Kerjasama dengan warga kerja SZE memang seperti sebuah keluarga.
“Seharian kami berada di set, tetapi rasa macam sekejap saja sebab semuanya bekerja dengan bersungguh-sungguh dan yang paling penting, tak rasa stres,” katanya.
Kay turut menzahirkan rasa kagum terhadap semangat pasukan produksi yang memastikan hasil akhir berada di tahap terbaik.
“Saya sangat terharu melihat semangat dan hasil kerja semua pihak tidak kira yang di depan mahupun di belakang tabir.
“Selain itu, tak pernah terlintas di fikiran yang saya berpeluang beraksi dalam video muzik yang menelan belanja besar sebegini, hasilnya juga memang di luar jangkaan saya.
“Syukur Alhamdulillah, ini adalah buah tangan daripada SZE yang sangat bermakna untuk saya,” jelasnya.
Mengulas cabaran yang dihadapi sepanjang proses pembikinan, Kay mendedahkan dia mengambil masa beberapa bulan untuk memastikan dirinya bersedia dari segi fizikal.
“Sebenarnya, saya membuat persiapan berbulan-bulan untuk mendapatkan berat badan ideal untuk penggambaran. Penjagaan makanan saya ketika itu sangat ketat diikuti rutin senaman harian yang lebih ekstrem berbanding biasa.
“Kami perlu manfaat masa sebaiknya untuk lakukan penggambaran di luar sebab ketika itu kerap hujan. Proses penggambaran bermula seawal jam 10 pagi dan siap pada jam 6 pagi keesokannya. Sebaik siap outdoor shooting, hujan pun turun. Nasib baik sempat dan semuanya berjalan lancar.
“Semoga ada sinar kejayaan untuk lagu ini, seperti tajuknya Ulang, harapnya lagu ini boleh terus diputar berulang kali dan disukai pendengar muzik tanah air serta mereka di negara-negara jiran,” ujar Kay.
Bagi Shiha Zikir pula, kolaborasi bersama Kay berlangsung dengan sangat baik.
“Kerjasama dengan Kay sangatlah mudah sebab kami pun sudah lama kenal dan berkawan baik. Apabila urusan kerja senang, saya pun rasa teruja dan syukur Alhamdulillah, proses rakaman vokal dan video muzik berjalan lancar seperti yang dirancang.
“Watak ala Bond Girl itu adalah hasil idea daripada Arul, saya suka tetapi hanya untuk video muzik itu saja. Kalau untuk lakonan, saya sebenarnya teringin cuba watak air mata yang boleh meninggalkan impak kepada penonton. Saya mahu lakonkan watak yang boleh buat orang menangis pula, harap ada rezeki suatu hari nanti,” katanya.
Sebagai pemilik syarikat SZE dan penerbit eksekutif bagi lagu Ulang, Shiha menjelaskan sebab beliau memilih untuk berduet dengan Kay.
“Kay sebenarnya seorang penyanyi yang berbakat dan saya sendiri sukakan suaranya. Apabila saya sudah ada syarikat rakaman dan pengurusan sendiri seperti sekarang, kenapa tidak saya hadiahkan Kay satu lagu yang dia suka dan untuk mencipta memori dengan seorang sahabat, saya pun berduet sama dengannya.
“Mula-mula saya dengar lagu ini, ia kedengaran seksi dan segar. Lagipun saya rasa ia sangat sesuai untuk Kay sebab dia memang minat lagu-lagu Michael Bublé, dan lagu-lagu ala runut James Bond. Lagu Ulang ini ada sound yang dekat dengan lagu-lagu seperti itu dan ia masih sesuai dengan minat kebanyakan orang di luar sana,” katanya.
Mengakhiri perbualan, Shiha berharap lagu Ulang mendapat sambutan positif dalam industri.
“Saya harap ia mendapat sambutan yang positif daripada para pendengar. Kalau ramai yang suka lagu ini, tak mustahil ia boleh jadi penyebab Kay makin disukai ramai. Kita doa yang baik-baik saja,” katanya.