'Yassin dah hafal 20 juzuk al-Quran, berat badan naik' – Saiful Apek

'Yassin dah hafal 20 juzuk al-Quran, berat badan naik' – Saiful Apek

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak, Saiful Apek memaklumkan sahabatnya dalam kumpulan Senario, Yassin yang ditahan di Arab Saudi bakal pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri ini.

“Selama ini kami berdiam diri kerana menghormati pihak keluarga Yassin, tapi melalui maklumat keluarga yang saya terima dia akan balik sebelum Aidilfitri ini.

“Alhamdulillah kami lega apabila dapat tahu dengan lebih terperinci keadaan dirinya. Saya dan Yassin sudah berkawan lama. Mungkin dia tak pandai mana, tapi dia tak bodoh.

“Cuma saya nak beritahu kepada semua supaya hentikan segala spekulasi. Kita tunggu tuan empunya badan balik, dan biar dia sendiri yang ceritakan kejadian sebenar yang berlaku sampai dia ditahan,” katanya.

Menurut Apek, Yassin tidak ditahan di penjara sebaliknya sedang menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Alhamdulillah saya lega dia berada dalam keadaan yang baik. Dia pun dengarnya sudah hafal sehingga 20 juzuk al-Quran kerana dapat ‘kursus percuma’.

“Tiada benda jadi kebetulan, insya-Allah sebelum Aidilfitri ini dia pulang untuk bersama dengan keluarganya dan kami akan sambut dengan penuh gembira,” katanya.

Ditanya adakah dia berpeluang untuk bercakap dengan Yassin sepanjang berada di pusat pemulihan itu, Apek memberitahu, dia dapat bercakap dengan pelawak itu.

“Saya dapat bercakap sekali dengan Yassin melalui panggilan video di aplikasi Zoom. Malah berat badannya juga bertambah naik. Kalau dulu badannya saiz S (Small) kini sudah saiz M (Medium),” katanya.

Dalam pada itu, Apek mengakui dia bersama rakan-rakan lain ada menghulurkan bantuan untuk memastikan rakannya itu berada dalam keadaan baik.

“Sebagai sahabat kami saling berkongsi rezeki untuk dalam menyediakan segala keperluan di sana.

“Saya rasa kalau saya sendiri ditimpa musibah pun, pasti sahabat-sahabat saya akan lakukan perkara sama.

“Inilah gunanya sahabat. Cuma tiada lah masalah kewangan yang kritikal sepanjang dia berada di sana. Semuanya ditangani dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang pelawak ditahan di Jeddah selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja, namun tidak mendedahkan identitinya.

Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman selama enam bulan di negara itu. Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November lalu.

Sumber dilapor berkata, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal daripada tempoh ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top