am@hmetro.com.my
Sungai Petani: “Kali terakhir saya bertemu dengan arwah (pada) petang kelmarin ketika majlis berbuka puasa bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Menara Kawalan Pantai Merdeka, dan nampak dia tak seceria sebelum ini.
“Masa tu dia dalam waktu kerja tetapi dia beritahu nak balik awal sebab katanya dia teringatkan anaknya selepas bermain dengan anak saya yang dibawa bersama pada majlis itu,” kata Pegawai Bersekutu APM, Kapten Bersekutu (PA) Muhamad Ridzuan Osman.
Menurutnya, dia mengenali arwah Muhammad Faiz Rozaini, 31, ketika pandemik Covid-19 pada 2020 ketika terbabit dalam pengurusan jenazah dan hubungan mereka sangat baik.
Katanya, arwah seorang ramah, baik dan rajin dalam menjalankan tugas.
“Saya terima gambar menerusi kumpulan WhatsApp, ada kemalangan pada 2.50 petang semalam di Jalan Kuala Ketil menghala ke Bukit Selambau membabitkan sebuah Perodua Kancil.
“Dalam gambar itu ada pakaian seragam APM tertera nama Faiz dan mangsa masih dalam kereta. Masa tu saya dah tak sedap hati dan hubungi kawan-kawan di APM Kuala Muda.
“Lepas tu saya tengok balik gambar mangsa tu memang arwah Faiz dan terus ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Wajdi, Bukit Selambau, 11 pagi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan 3 petang semalam itu membabitkan sebuah Perodua Kancil dengan sebuah lori.
Beliau berkata, akibat kemalangan, pemandu kereta mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia itu kemudian di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Beliau berkata, bagaimanapun, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




