hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), Deputi Komisioner Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali dilantik memangku jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Beliau menggantikan Datuk Seri Khaw Kok Chin yang bersara wajib, Ahad ini selepas berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 34 tahun.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Majlis serah terima tugas di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini, dimulakan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas antara Khaw dan Mat Zani@Mohd Salahuddin.
Ayob Khan dalam ucapannya berkata, majlis berkenaan sebagai penghormatan tertinggi kepada Khaw yang lebih tiga dekad menabur bakti dalam perkhidmatan PDRM.
Katanya, JSJN yang diketuai Khaw banyak melakar kejayaan besar termasuk rampasan bernilai RM1.6 bilion dadah dan racun sepanjang tahun lalu.
“JSJN banyak kejayaan besar dicapai di bawah Datuk Seri Khaw Kok Chin, termasuk merampas lebih 46,000 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 53,000 kg pelbagai jenis racun bernilai RM1.6 bilion.
“Sebanyak lebih 238,000 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, membongkarkan 14 makmal haram dan menyita RM108 juta aset dengan nilai aset lucut hak mencecah RM11juta,” katanya.
Sementara itu, Khaw berkata, dia berterima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM atas kepercayaan kepadanya menerajui JSJN dan mengakui berpuas hati sepanjang perkhidmatan serta kariernya selain mengakui berbangga melihat pencapaian anak buahnya.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan saya berterima kasih kepada semua warga PDRM. Sumbangan, dorongan dan sokongan anda saya tidak nafikan.
“Saya harap semua terus memberi sokongan dan meneruskan usaha untuk menaikkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Untuk rekod, sepanjang perkhidmatan, Khaw pernah memegang beberapa jawatan antaranya Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (I) IPK Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) di Kontinjen Selangor dan Timbalan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta Perak.
Pada 2020, Khaw memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Johor sebelum ditugaskan sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Jabatan JKDNKA sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.
Beliau kemudian, dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (PJSJN) pada 4 Mac tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd