LOS ANGELES: Belgium berdepan risiko tersingkir seawal peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut selepas seri 0-0 dengan Iran dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026, semalam.
Skuad Red Devils yang dibarisi pemain berpengalaman seperti Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku gagal memanfaatkan penguasaan bola apabila berdepan pertahanan kental Iran, selain terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.
Iran sebenarnya hampir mencuri kemenangan apabila penyerang utama mereka, Mehdi Taremi menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada babak pertama, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kedudukan ofsaid.
Keadaan Belgium bertambah sukar pada separuh masa kedua apabila pertahanan mereka, Nathan Ngoy dilayangkan kad merah selepas mengasari Taremi yang sedang mara ke arah gol susulan kesilapan hantaran ke belakang.

Keputusan itu menyaksikan ketiga-tiga perlawanan dalam Kumpulan G setakat ini berakhir dengan keputusan seri, sekali gus menjadikan persaingan untuk layak ke pusingan seterusnya semakin terbuka.
Belgium kini mengumpul dua mata dan masih mempunyai peluang untuk mara apabila akan menentang pasukan ranking tercorot kejohanan, New Zealand dalam perlawanan terakhir kumpulan.
Iran pula perlu sekurang-kurangnya mengutip satu mata ketika bertemu Mesir pada Jumaat ini bagi menghidupkan peluang mereka ke pusingan kalah mati.
Dalam perlawanan tersebut, Belgium menguasai sebahagian besar permainan namun gagal mencipta peluang berbahaya. Lukaku yang kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama hanya mampu menghasilkan satu percubaan tandukan pada minit ke-36 namun tersasar.
Iran pula tampil lebih berbahaya menerusi serangan balas dan lontaran jauh. Hossein Kanani hampir meletakkan pasukannya di depan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Taremi sekali lagi menguji ketangkasan Courtois selepas rehat, namun penjaga gol berpengalaman itu berjaya menafikan cubaan penyerang berkenaan.
Belgium cuba meningkatkan tekanan menerusi beberapa pertukaran pemain yang dilakukan jurulatih, Rudi Garcia namun ketumpulan jentera serangan terus menghantui pasukan Eropah itu.
Selepas kehilangan Ngoy akibat kad merah, Belgium lebih banyak bertahan bagi memastikan sekurang-kurangnya satu mata dapat dibawa pulang.
Keputusan seri itu memberi kelebihan kepada Iran yang mempamerkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan, manakala Belgium perlu memastikan kemenangan ke atas New Zealand sekiranya mahu mengelakkan episod duka tersingkir awal berulang sekali lagi. – AFP




