am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun baju Melayu atau baju kurung untuk menyambut Aidilfitri boleh dibeli secara atas talian, namun masih terdapat golongan gemar membeli secara fizikal kerana lebih selesa dan meyakinkan.
Suri rumah Syamira Shamsul, 40, dari Pudu berkata pada setiap Aidilfitri, dia akan membeli baju kurung untuk dirinya secara fizikal di kedai kerana lebih selesa.
“Saya memang akan beli baju raya dekat kedai sebab senang dicuba dan boleh rasa jenis kain yang digunakan.
“Kalau beli atas talian, kita tak boleh rasa jenis kain itu kerana hanya gambar yang ditunjukkan. Kadang kala rasa risau juga jika ada masalah dengan saiz baju raya.
“Baju dan kasut raya lebih selesa dibeli secara fizikal di kedai kerana memudahkannya dalam membuat pilihan saiz kerana boleh dicuba,” katanya.
Pesara swasta Ahmad Fuzi Mohamad, 70, dari Cheras berkata, dia memilih untuk membeli baju Melayu secara fizikal disebabkan faktor usianya yang tidak mahir dengan teknologi.
“Saya jarang menggunakan telefon bimbit untuk membuat pembelian atas talian sebab bimbang ditipu, nak beli baju raya tapi dapat benda lain.
“Saiz turut menjadi isu apabila membeli baju raya atas talian. Saya dah berusia, jadi nak kena tengok saiz baju, muat atau tidak,” katanya.
Katanya, selain itu dia juga bimbang jika baju raya yang dibeli secara atas talian tidak sempat sampai sebelum Aidilfitri sedangkan masa sudah suntuk.
Sementara itu, Nur Amierah Nazri, 26, berkata dia lebih memilih untuk membeli baju kurung secara atas talian kerana kekangan masa disebabkan bekerja.
“Disebabkan saya susah untuk dapat cuti, jadi saya memang tiada masa untuk keluar membeli-belah.
“Lagipun kalau membeli secara ‘online’, saya dapat melihat banyak pilihan dan cadangan dari banyak kedai online lain tanpa membazir tenaga,” katanya.
Pelajar universiti awam, Shahirah Amani Zaharolnisam, 26, berkata sudah menjadi kebiasaannya untuk membeli baju kurung untuk Aidilfitri secara atas talian setiap tahun.
“Saya memang setiap tahun membeli secara atas talian sebab saya beli untuk satu keluarga, jadi saya akan dapat banyak diskaun berbanding membeli di kedai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




