am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Dua lelaki terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah seberat 32.15 kilogram (kg) lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Kan Weng Hin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Aufa Bonadi, 28, dan Abbas Ahmad, 35, di akhir kes pendakwaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dua rakan itu didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine dengan berat bersih 32,152.28 gram dalam sebuah bot bersebelahan inap desa di Jalan Selar, Telok Sengat, Kota Tinggi, kira-kira 12.10 tengah hari, 22 Mei 2020.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka boleh dijatuhkan hukuman mati atau jika tidak dihukum mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Weng Hin berkata, mahkamah berpendapat kedua-dua tertuduh tidak mempunyai hubungan dengan bot di inap desa berkenaan yang mana dadah ditemukan dan sesiapa sahaja boleh mengakses bot yang diletakkan di kawasan lapang itu.
“Bot ditinggalkan di kawasan berkenaan pada 18 Mac 2020 oleh seorang warga Indonesia. Negara kemudian melaksanakan perintah lock down (perintah kawalan pergerakan), dan hanya selepas dua bulan, iaitu pada 19 Mei 2020, kedua-dua tertuduh datang ke homestay (inap desa) itu.
“Homestay itu tidak berpengawal, tiada pagar, dan bot berada di kawasan lapang. Sesiapa sahaja boleh mengakses bot yang diletakkan di situ selama dua bulan. Tiada bukti menunjukkan kedua-dua tertuduh berada di lokasi berkenaan sebelum itu,” katanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar, manakala Muhammad Aufa diwakili peguam Fairuz Elias Majid, dan peguam Datin Freda Sabapathy serta K Sarawanan mewakili Abbas.
Seramai 11 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 19 November 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




