am@hmetro.com.my
Jelebu: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan akan mengangkat usul cadangan pembinaan jeti nelayan darat di Kampung Sungai Buloh di sini, untuk dimasukkan ke dalam bajet pembangunan akan datang.
Pengarahnya, Kasim Tawe berkata, pihaknya menyokong keperluan pembinaan jeti berkenaan selain sudah mengenal pasti lokasi yang sesuai.
“Kami akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum cadangan itu diangkat ke peringkat kementerian untuk kelulusan peruntukan.
“Jeti perikanan darat di Pahang, Perak atau Terengganu boleh dijadikan contoh model jeti nelayan darat yang sudah berjaya dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Harian Metro melaporkan nelayan darat di Kampung Sungai Buloh, di sini, memohon kerajaan membina sebuah jeti bagi memudahkan aktiviti perikanan, terutamanya untuk urusan memunggah hasil tangkapan.
Bagi penduduk setempat, Sungai Triang bukan sekadar aliran air biasa, sebaliknya ia adalah sumber rezeki utama bagi menyara kehidupan keluarga mereka sejak turun-temurun.
Namun, ketiadaan jeti menyebabkan nelayan terpaksa mengangkut bot dari rumah ke sungai setiap hari sebelum keluar menangkap ikan.
Dalam pada itu, Kassim berkata, perancangan teliti amat diperlukan bagi menentukan lokasi yang benar-benar sesuai untuk pembinaan jeti ini.
Beliau berkata, daripada 50 nelayan darat di daerah itu, 30 daripadanya berdaftar dengan Jabatan Perikanan dan aktif yang mencari rezeki di sepanjang Sungai Triang
“Pembinaan jeti ini dilihat sebagai satu keperluan bagi menyediakan sistem pendaratan hasil yang lebih mudah dan menjamin keselamatan nelayan.
“Selain menjadi tempat parkir bot lebih teratur, jeti ini bakal berfungsi sebagai pusat sosio-ekonomi dan berpotensi dibangun pusat agropelancongan serta tempat aktiviti komuniti setempat,” katanya.
Bagi pihak jabatan pula, beliau berkata, kewujudan jeti sistematik akan memudahkan urusan pelepasan benih ikan ke sungai serta memudahkan akses bagi penyaluran bantuan kepada golongan sasar.
Malah, katanya, Sungai Triang bermula dari Kampung Sungai Buloh mempunyai nilai tinggi untuk dibangunkan melalui program menyusuri sungai (river cruise) sekali gus dapat merancakkan sektor pelancongan.
Sementara itu Kasim berkata berdasarkan rekod terdapat peningkatan tangkapan ikan oleh nelayan darat dari lima kampung di sepanjang Sungai Triang.
Katanya, pada 2023 jumlah tangkapan adalah 2,815 kilogram (kg) dan meningkatkan kepada 3,775 kg pada 2024 dan 4,850 kg pada tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




