am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 14 warga asing termasuk tujuh wanita dalam serbuan di dua premis refleksologi dan spa di bandar raya ini, semalam.
Operasi bermula jam 8 malam itu menumpukan penguatkuasaan dalam menangani kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) serta membanteras aktiviti penggajian warga asing tanpa dokumen yang sah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi menyasarkan premis disyaki menggunakan warga asing tanpa dokumen yang sah.
Katanya, serbuan di lokasi pertama membawa kepada penahanan 10 warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan tujuh wanita.
“Manakala serbuan di lokasi kedua menahan empat individu masing-masing tiga warga China dan seorang wanita warga Filipina.
“Seorang majikan warga tempatan turut ditahan selepas disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, pihaknya turut merampas lesen perniagaan, wang tunai sebanyak RM1,464 bersama buku log dan penanda magnet.
Katanya, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




