Tidak adil tolak orang lama FAM

PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail menyifatkan pandangan yang mahu mengetepikan calon ‘muka lama’ pada pemilihan badan induk itu sebagai tidak adil.

Katanya, soal calon lama atau baharu tidak seharusnya menjadi ukuran utama kerana semua pencalonan datang daripada persatuan bola sepak (FA) dan kelab bola sepak (FC) yang mempunyai hak untuk menentukan pilihan masing-masing.

“Bagi saya senang saja, muka lama ke muka baharu, semuanya bermula daripada FA ataupun FC kerana FA dan FC yang membuat pencalonan.

“Kalau isu yang kata muka lama dan sebagainya, bagi saya tidak adil kerana bukan muka lama yang tentukan. Seperti saya sendiri, kalau saya mahu bertanding, bukan saya yang mencalonkan diri, yang mencalonkan adalah FA dan FC,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rosmadi berkata, setiap calon yang menerima pencalonan, sama ada daripada kelompok lama atau baharu, berhak untuk membuat pertimbangan sebelum memutuskan sama ada mahu bertanding pada pemilihan kali ini.

Katanya, pengalaman yang dimiliki individu yang sudah lama berkecimpung dalam pentadbiran bola sepak juga boleh dimanfaatkan untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan berkenaan.

“Orang macam saya yang sudah lama terlibat dengan bola dan ada sedikit sebanyak pengalaman, kita rasa mahu menyumbang lagi. Jadi, tidak adil untuk mempersalahkan orang lama seperti kita.

“Lagipun, saya rasa kombinasi lama dan baharu adalah satu kombinasi terbaik untuk setiap organisasi. Kalau baharu sahaja pun susah, kalau lama sahaja pun susah,” katanya.

Mengulas persaingan pada pemilihan FAM kali ini, Rosmadi mengakui saingan dijangka sengit berikutan jumlah calon yang ramai layak berbanding jawatan yang dipertandingkan.

Beliau bagaimanapun melihat peluang semua calon masih terbuka, terutama selepas syarat kelayakan bertanding dikurangkan, manakala jumlah perwakilan pula bertambah.

“Bagi saya sekarang amat terbuka pertandingan kali ini. Kelayakan untuk bertanding sudah berkurang dari segi minimum (jumlah pencalonan), tetapi pada masa sama perwakilan bertambah.

“Jadi bagi saya amat terbuka dan saya percaya FA dan FC mempunyai pandangan serta akan membuat keputusan terbaik untuk FAM,” katanya.

Pemilihan kali ini dijangka lebih kompetitif apabila 31 calon yang melepasi saringan akan bersaing dalam tujuh kategori jawatan membabitkan Presiden, Naib Presiden 1, Naib Presiden 3, Exco FA, Exco FC, Exco Pakar dan Exco Wanita.

Tumpuan pastinya terarah kepada perebutan kerusi Presiden yang menyaksikan tiga calon berjaya melepasi tapisan, selain saingan bagi jawatan Naib Presiden 1 dan Exco FC yang masing-masing melibatkan lima calon. Kategori Exco FA pula dijangka paling sengit apabila 11 calon bersaing merebut kerusi yang diperuntukkan.-UTUSAN

Scroll to Top