am@hmetro.com.my
Langkawi: Lebih 10,000 tiket untuk pelawat awam menyaksikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) mulai 20 hingga 24 Mei ini habis terjual setakat ini.
Ketua Pegawai Operasi Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC), Lt Kol (B) Rambedan Ahmad, berkata jualan tiket secara dalam talian menerusi laman sesawang https://registration.lima2025.com/, bermula awal Januari lalu.
“Sehingga hari ini (semalam) sebanyak 10,000 tiket untuk pelawat awam dari dalam dan luar negara menyaksikan LIMA ’25 telah terjual dan ia menjadi petanda positif terhadap penganjuran pameran berprestij dwitahunan itu.
“Pengunjung perdagangan juga telah ramai berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri My Iftar@Langkawi anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Dataran Chenang di sini, malam tadi.
Pameran itu pada kali ini dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan GEC dengan segmen aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), manakala segmen maritim diadakan di Resort World Langkawi.
Mengulas lanjut, Rambedan berkata, sebanyak 95 peratus tapak pameran LlMA ’25 ditempah oleh pempamer, sekali gus membuktikan pameran edisi ke-17 itu turut mendapat perhatian pempamer dari serata dunia.
“Saya yakin menjelang sebulan sebelum LIMA ’25 keseluruhan tapak pameran untuk segmen aeroangkasa di MIEC habis ditempah oleh pempamer seperti dari China, Perancis, United Kingdom, Australia dan Itali.
“Sehingga kini dua pasukan aerobatik, Russian Knights dari Russia dan Surya Kiran (India) telah mengesahkan penyertaan, namun kita masih menanti jawapan dari pasukan Black Eagles dari Korea Selatan,” katanya.
Tambah beliau, pesawat pengebom B-52 dan P-51 Mustang dari Amerika Syarikat, JAS39 Gripen (Tentera Udara Diraja Thailand) dan tiga pesawat Tentera Udara Singapura turut mengesahkan menyertai pameran statik.
“Bagi segmen maritim, sebanyak enam negara sudah mengesahkan penyertaan membabitkan keseluruhannya 25 kapal perang tentera laut negara asing termasuk kapal selam Scorpene negara menyertai pameran,” katanya.
Keterangan gambar:
1. Ketua Pegawai Operasi Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC), Lt Kol (B) Rambedan Ahmad bercakap pada sidang media selepas menghadiri menghadiri My Iftar@Langkawi anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Dataran Chenang, Langkawi. NSTP/HAMZAH OSMAN
– ends
From: Hamzah
© New Straits Times Press (M) Bhd