Pelancong teruja berbuka puasa bersama warga kota

Pelancong teruja berbuka puasa bersama warga kota

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelancong asing dan individu bukan Islam teruja berbuka puasa bersama ratusan warga kota menerusi Program Iftar@KL di Jalan Raja, Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Pengunjung, Hydram Tneh, 25, berkata kehadiran Ramadan merupakan sesuatu yang menyeronokkan buat dirinya yang sudah mula berpuasa sejak tahun lalu bersama-sama rakan beragama Islam ketika melanjutkan pelajaran di Taiwan.

“Walaupun saya beragama Buddha, saya turut berpuasa pada bulan Ramadan. Tahun lalu, saya terlepas dua, tiga hari, dan tahun ini baru sehari saya terlepas puasa kerana tidak bangun bersahur.

“Bagi saya, sebagai orang Malaysia, semua perayaan kenalah disambut bersama-sama kerana kita satu keluarga besar.

“Dengan cara ini, saya yakin kita mampu memahami budaya kaum lain, agama Islam khususnya, dan saya juga teruja nak makan bubur lambuk. Ini kali pertama,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di sini, hari ini.

Pelancong Switzerland, Kevin Tieche, 29, pula berkata dia pernah cuba berpuasa bersama rakan-rakan beragama Islam di tempat asalnya dan menggambarkannya sebagai satu perkara yang amat mencabar buat dirinya.

Katanya, dia kagum melihat umat Islam berpuasa dalam cuaca panas seperti di Malaysia dan berbuka beramai-ramai dalam satu majlis bersama pelbagai kaum.

“Ini kali pertama saya ke Malaysia, dan ketika sedang bersiar-siar di sini, saya dan ibu dipelawa oleh petugas program untuk menyertai orang ramai berbuka puasa.

“Ia satu pengalaman yang menarik yang tidak dapat dilihat di banyak tempat, masyarakat berbilang bangsa berkumpul dan makan bersama-sama.

“Secara peribadi, saya seronok melihat perbezaan kaum dan budaya di sini. Jika di Switzerland, ada orang Islam tetapi tidak ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata kira-kira 5,000 pengunjung menyertai Program Iftar@KL, di sini, hari ini.

Katanya, selain memberi juadah berbuka secara percuma, pihaknya turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim.

“Program-program ini kita buat di seluruh negara, antaranya pemberian bubur lambuk di lapan buah masjid di kawasan luar bandar dan majlis berbuka puasa kepada jemaah.

“Kami juga ada memberi sumbangan zakat kepada lebih 12 lokasi di seluruh Malaysia, dan hari ini (Dataran Merdeka) yang terbesar diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN),” katanya.

Hadir sama pada program berbuka puasa itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top