Afifuddin dipanggil perkuat cabaran takraw negara

Afifuddin dipanggil perkuat cabaran takraw negara

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain apit kanan ATM Gurdinas, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dipanggil saat akhir untuk memperkuatkan skuad sepak takraw negara pada Kejohanan Piala Dunia Bihar 2025 di India yang akan berlangsung dari 20 hingga 25 Mac ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, Afiffuddin dipilih kerana terdapat beberapa pemain yang sepatutnya beraksi di kejohanan itu tidak dapat melaporkan diri sekali gus pihak pengurusan terpaksa melakukan pertukaran pemain.

“Kita menghadapi masalah pemain iaitu belum cukup sepenuhnya. Ada beberapa pemain belum melaporkan diri sebab ada masalah pelepasan daripada majikan selain masalah lain yang belum selesai.

“Jadi, kita ambil keputusan perlu masukkan seorang lagi pemain untuk kuatkan mana-mana acara dan putuskan beliau (Afifuddin) kembali ke skuad memandangkan ada dua, tiga pemain lagi yang tiada,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi PSM semalam.

Selain itu, Sumali melihat pengalaman dimiliki Afifuddin mampu membantu Malaysia memburu keputusan positif dalam kejohanan itu dan ia juga sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Mei nanti.

“Kita tidak boleh tunggu lama sebab kejohanan sudah dekat, Piala Asia juga sudah dekat, jadi kita ambil langkah awal masukkan pemain baru.

“Itupun setelah kita berbincang dengan ketua jurulatih yang memutuskan untuk ambil pemain senior dan berpengalaman kerana dalam masa singkat ini untuk gabungkan dengan pemain sedia ada,” katanya.

Pasukan sepak takraw lelaki negara akan menyertai acara double dan quadrant pada kejohanan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top