RM29 bilion aset 1MDB dikembalikan kepada kerajaan

RM29 bilion aset 1MDB dikembalikan kepada kerajaan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sejumlah aset bernilai RM29.75 bilion yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya diperoleh semula setakat ini dan dikembalikan kepada kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, angka itu bermakna 70 peratus daripada RM42 bilion yang dipercayai diseleweng sebelum ini berjaya dibawa pulang.

“Peratusan ini mencatatkan kadar pemulihan yang sangat tinggi berbanding dengan kadar pemulihan aset global, hasil daripada usaha bersepadu antara agensi penguatkuasaan dan kolaborasi antarabangsa.

“Kejayaan pemulihan aset ini membuktikan keupayaan serta komitmen berterusan SPRM dalam membawa pulang aset yang diperoleh secara tidak sah.

“Ia juga mencerminkan keberkesanan kerjasama antara SPRM dan *Commercial Affairs Department* (CAD) Singapura dalam memerangi rasuah serta pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM berkata, antara aset yang berjaya diperoleh semula termasuk pelbagai mata wang asing bernilai RM14.67 juta, iaitu SGD 1.38 juta, USD 85,868, NZD 344,163, dan AUD 3.18 juta.

Katanya, dana yang diperoleh berkenaan sudah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

“Pada masa sama, sebanyak RM12.97 juta dikembalikan kepada kerajaan hasil penjualan hartanah serta pemindahan dana daripada akaun syarikat Tan Kim Loong, warganegara Malaysia yang dikaitkan dengan Low Taek Jho.

“Pemindahan dana ke Akaun Amanah Pemulihan Aset telah berlaku pada 18 Februari, 7 dan 10 Mac lalu,” katanya.

Dalam kenyataan sama, SPRM berkata berjaya membawa pulang sejumlah aset bernilai RM1.69 juta daripada seorang warga Singapura yang juga bekas pegawai bank, Yak Yew Chee.

Katanya, Yew Chee disabitkan kesalahan oleh mahkamah di Singapura berhubung penglibatannya dalam skandal 1MDB, dan dana yang diperoleh berkenaan sudah dikreditkan ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset pada 21 Januari 2024.

SPRM berkata, mereka kekal komited bagi mendapatkan semula aset-aset negara yang diseleweng dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi memerangi jenayah rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top