Kios layan diri sedia mi dalam 48 saat

Kios layan diri sedia mi dalam 48 saat

Beijing: Sebuah kios automatik di tenggara China ‘diserbu’ orang ramai kerana menghidangkan semangkuk mi dalam masa 48 saat saja.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pelanggan beratur di Restoran Future Noodle dekat bandar Shenzhen untuk merasai sendiri bentuk pembuatan mi secara automatik, dan dijual serendah 9.9 yuan (kira-kira RM6) setiap mangkuk tanpa caj tambahan.

Kios seluas lapan meter persegi itu menawarkan lebih daripada 10 jenis mi.

Selain mi sup daging lembu dan tumis, hidangan sampingan seperti telur diperap dan sosej panggang turut terdapat dalam menu, dengan harga antara enam hingga 20 yuan (kira-kira RM12).

Pelanggan membuat pesanan mereka melalui kios layan diri, membayar dan melihat keseluruhan proses memasak melalui tingkap lut sinar.

Robot di dalam mesin itu mencampur air dan tepung, menguli doh, menekannya ke dalam cakera, dan memotongnya menjadi mi dengan mengambil masa kurang lapan saat.

Kemudian, daging lembu dan mi ditambah ke dalam mangkuk, air panas dituangkan, dan hidangan dimasak dalam 40 saat.

Akhirnya, robot itu menghidangkan semangkuk mi yang ditabur daun bawang di atasnya.

Kios mi automatik itu dikendalikan syarikat Wanjie Intelligent yang diasaskan pada 1996, dan berpangkalan di wilayah Henan dekat tengah China.

Jurucakap syarikat berkata, mesin membuat mi itu mengambil masa 10 tahun untuk dibangunkan, dengan setiap unit berharga 330,000 yuan (kira-kira RM202,710).

Ia dilengkapi lebih 20 jenis pemotong dan boleh mencipta mi pelbagai bentuk dalam masa lapan saat saja.

Hantaran media sosial syarikat itu menekankan mesin yang ada boleh membuat 120 mangkuk mi dalam tempoh sejam.

Ia beroperasi 24 jam.

Mesin itu kini dijual di seluruh negara, dengan cawangan Future Noodle Restaurant juga muncul di pasar raya dan bangunan pejabat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top