Inteam makin matang

Inteam makin matang

mohamadridzuan@hmetro.com.my

USIA pembabitan mereka dalam bidang seni yang menjangkau 25 tahun semakin mematangkan kumpulan Inteam.

Kumpulan dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad, Abdul Rahim Osman dan Hazamin Harun ini terus aktif mengeluarkan pelbagai produk berjenama Inteam serta artis-artis di bawah naungan mereka.

Sempena Ramadan , Inteam Records semakin giat menerbitkan pelbagai karya baharu bagi memenuhi permintaan peminat muzik Islamik.

“Inteam Records memulakan tahun 2025 dengan memperkenalkan Yusuf Kassim, artis baharu yang tampil dengan single sulung berjudul Permata Yang Dicari 2.0.

“Kami juga menerbitkan album Zikir Munajat oleh Hazamin, Surah Pilihan oleh Ustaz Dr Hazli Ismail, dan Surah Pilihan oleh Ustaz Husaini Mahmur.

“Kami turut mempersembahkan single solo Di Sisimu oleh Hazamin. Lagu ini menampilkan keunikan dalam susunan muzik dan mesej mendalam yang bersesuaian dengan suasana bulan penuh keberkatan ini,” kata mereka pada majlis Iftar Inteam Bersama Media, baru-baru ini.

Menurut mereka, saluran YouTube Inteam Digital terus berkembang pesat, mencapai satu juta pelanggan.

“Penyumbang utama kejayaan ini ialah video pendek bacaan surah bertaranum oleh Ustaz Husaini Mahmur, yang mendapat perhatian antarabangsa selepas beliau menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa di WTC KL tahun lalu.

“Rentetan kejayaan ini, Inteam Records melancarkan album Tilawah AI-Quran oleh Ustaz Husaini Mahmur di semua platform digital dengan setiap bacaan surah.

“Kami juga menghebahkan penerbitan album paling ‘grand’ iaitu album Mohram kerana Mohram bagi kami ‘living legend’ yang dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Untuk Mohram, Inteam menghasilkan album religi berjudul Dhuha yang memuatkan alunan muzik yang merdu dan mengusik jiwa.

Bercerita berkenaan projek solo Hazamin, Inteam berkata, ia kali pertama dilakukan.

“Kalau secara berduet memang dah ada. Ahli-ahli Inteam yang lain juga akan hasilkan lagu solo juga ikut giliran masing-masing.

“Rahim dulu pernah ada tapi lebih kepada zikir. Selepas 25 tahun, baru kami terfikir nak ada single solo setiap anggota Inteam.

“Sekarang sudah trend. Kalau tengok abang-abang Hijjaz pun dah keluarkan single. Ia sebagai kelainan.

“Biasanya kami tampil sebagai kumpulan. Macam sahabat kami, arwah Suhaimi Saad pun pernah buat single solo,” kata Syahril.

Bagi memastikan projek ini berjaya, Inteam akan memilih lagu yang sesuai dengan suara masing-masing.

“Sebelum ini apabila Ramadan kami selalu bekerjasama dengan artis arus perdana. Sekarang kami buat kelainan kerana lima tahun berturut-turut buat strategi yang sama.

“Jadi nak ubah sikitlah. Kali ini buat solo. Inteam juga akan mengadakan Konsert Inteam 25 Tahun pada 27 September di Zepp Kuala Lumpur.

“Konsert ini akan menampilkan ‘string quartet’ bukannya orkestra. Setakat ini ada beberapa lagu akan gabungkan dan medleykan,” kata Hazamin.

Abdul Rahim dan Hisyam pula berkata, mungkin kelainan kali ini dilakukan apabila mereka menyanyikan lagu-lagu nasyid ‘rare’ atau jarang dinyanyikan tetapi peminat minta juga.

“Jadi lagu-lagu ini akan dimedleykan juga. Mungkin juga lagu-lagu solo setiap ahli akan dinyanyikan nanti,” kata mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top