bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Majikan kepada dua pengawal peribadi yang diugut dengan pistol dan dipukul kerana berpuasa, akan dituduh esok di Mahkamah Majistret Klang dan Kuala Lumpur, esok.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara bersetuju suspek dikenakan empat pertuduhan.
Katanya, suspek utama iaitu majikan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kegentaran jenayah dengan cara mengacukan pistol ke arah seorang mangsa (mangsa kedua).
“Suspek utama juga berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109/324 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengarahkan suspek keempat, iaitu pembantu peribadinya mencederakan dua mangsa dengan menggunakan rotan.
“Suspek utama juga dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menampar serta menyerang perut mangsa kedua, menggunakan lutut.
“Suspek terbabit juga dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan perkataan dengan niat untuk menyinggung perasaan agama yang dianuti oleh kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, suspek keempat juga dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan rotan.
“Pertuduhan akan dilaksanakan pada esok, 22 April di Mahkamah Majistret Klang dan diikuti satu pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, terhadap suspek utama di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, suspek kedua dibebaskan tanpa syarat memandangkan tiada sebarang kaitan dengan kejadian serta tiada sebarang keterangan yang boleh dikaitkan secara material.
“Suspek pertama dan suspek ketiga dilepaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa pada 14 April lalu.
Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah Batu Nilam, Klang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




