Guru sambilan maut dalam kemalangan babitkan 3 kenderaan di Jalan Travers

Guru sambilan maut dalam kemalangan babitkan 3 kenderaan di Jalan Travers

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang guru sambilan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta berhampiran Jalan Travers, di sini, Jumaat lalu.

Mangsa, Muhammad Nurhaziq Mohd Anin, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum pengesahan dibuat pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 12.30 tengah hari.

Berkongsi kronologi kejadian, ahli keluarga mangsa yang ingin dikenali sebagai Azizi, 34, berkata, sebelum kejadian arwah yang mengajar kelas di UniKL Bangsar dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mengajar.

Menurutnya, isteri mangsa, Nur Aisyah Rodzi, 37, mula menyedari suaminya masih belum pulang sekitar jam 11.15 pagi sebelum cuba menghubungi telefon bimbit arwah.

“Yang saya dimaklumkan daripada pihak isteri, suami pergi mengajar dekat UniKL Bangsar. Habis mengajar, dia dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Isterinya kemudian telefon tetapi pihak polis yang menjawab panggilan itu dan memaklumkan suaminya terbabit dalam kemalangan maut,” katanya kepada Harian Metro.

Azizi berkata, jenazah mangsa dikebumikan pada malam hari sama di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Katanya, arwah yang bekerja sendiri sebagai guru meninggalkan seorang isteri dan tujuh anak berumur antara dua hingga 14 tahun.

Dalam pada itu, Azizi berkata, keluarga dimaklumkan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian, namun masih belum melihat rakaman berkenaan.

“Kami juga sedang mencari rakaman dashcam (kamera papan pemuka) iaitu rakaman daripada kenderaan lain bagi membantu urusan siasatan.

“Rakaman CCTV kini di bawah pihak berkuasa, jadi kami berharap ada orang awam yang mempunyai rakaman dapat berkongsi dengan pihak keluarga atau polis,” katanya.

Menurut Azizi, setakat ini belum ada orang awam menghubungi keluarga berhubung rakaman kamera papan pemuka selepas hantaran berkenaan kejadian dibuat.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima daripada polis, dua kenderaan terbabit iaitu sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda sudah ditahan reman untuk siasatan.

“Kemalangan itu bukan kes langgar lari. Dua kenderaan terbabit sudah ditahan, manakala arwah ketika kejadian menunggang motosikal jenis Yamaha Y16,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak polis berhubung siasatan kemalangan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top