am@hmetro.com.my
Bandar Baharu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lebih 245,000 naskhah bahan berkaitan al-Quran dianggarkan bernilai RM12 juta antara 2018 hingga tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rampasan melalui pemeriksaan terhadap 15,000 premis oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN mengikut Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.
“Antara tahun 2018 hingga 2024, bahagian ini memeriksa 15,000 premis yang membawa kepada rampasan 245,534 pelbagai jenis bahan berkaitan al-Quran.
“Hasil pemeriksaan itu, 1,220 kertas siasatan dibuka dengan nilai rampasan berjumlah RM12 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pemantapan Nilai Murni KDN sempena Nuzul al-Quran dan Ihya Ramadan di Masjid Al-Islah, Kampung Permatang Kerat Telunjuk di sini, malam tadi.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff dan Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Datuk Zulkifli Abidin
Saifuddin berkata, pada tahun lalu sahaja, KDN merampas 22,492 naskhah bahan berkaitan al-Quran bernilai RM3.4 juta hasil pemeriksaan di 6,439 premis.
Katanya susulan itu sebanyak 237 kertas siasatan dibuka.
Selain itu, beliau berkata sepanjang bulan Ramadan ini, kementerian juga sedang melaksanakan Ops Mulia bagi memastikan pematuhan Akta Percetakan Teks al-Quran.
“Sehingga 12 Mac 2025, hasil penguatkuasaan daripada pemeriksaan di 794 premis membabitkan nilai rampasan sebanyak RM502,737.
“Rampasan termasuk 734 naskhah al-Quran dan 19,682 bahan berkaitan al-Quran dengan 88 kertas siasatan dibuka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




