4 tren ETS tambahan sempena raya

4 tren ETS tambahan sempena raya

zanariah_mutalib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Susulan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena sambutan Aidilfitri, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat lagi ETS tambahan bagi laluan KL Sentral–Butterworth dan KL Sentral–Padang Besar (pergi balik).

KTMB memaklumkan, perkhidmatan tambahan itu membabitkan dua hari sebelum dan selepas Aidilfitri, masing-masing pada 28 dan 30 Mac ini serta 5 dan 6 April.

“Perkhidmatan ini menawarkan sebanyak 1,254 tempat duduk setiap hari, termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 5,016 tempat duduk disediakan bagi tempoh operasi ini untuk memenuhi keperluan pengguna.

“Tiket tren tambahan ini akan mula dijual pada 20 Mac 2025 (esok), bermula jam 10 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KTMB berkata, pada 3 Mac lalu, pihaknya menawarkan empat perkhidmatan ETS tambahan bagi tempoh 28 Mac hingga 6 April berikutan tiket tren berjadual sedia ada habis dijual.

Sepanjang tempoh operasi, perkhidmatan itu menawarkan 12,600 tempat duduk bagi memenuhi permintaan pengguna.

“Justeru, keseluruhan perkhidmatan yang ditawarkan adalah sebanyak 40 tren sehari sepanjang tempoh 28 Mac hingga 6 April dengan jumlah tempat duduk sebanyak 117,996 tempat.

“Ini sebahagian usaha berterusan KTMB dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, selamat dan selesa, sekali gus menyokong agenda kerajaan dalam memperkasa sistem rel sebagai pilihan utama mobiliti rakyat Malaysia,” katanya.

KTMB turut menasihatkan pengguna supaya mendapatkan tiket lebih awal dan tidak menunggu pada saat akhir bagi mengelakkan masalah kehabisan tiket.

“Pengguna juga disaran untuk hadir di stesen lebih awal bagi memudahkan urusan dokumentasi dan pemeriksaan di pintu masuk, sekali gus memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

“Pengguna boleh mendapatkan tiket melalui pembelian di aplikasi KTM Mobile (KITS), mesin kiosk atau di laman sesawang KTMB, www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari media sosial rasmi KTMB.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top