am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Aeronas Aerocraft Sdn Bhd (Aeronas), syarikat aeroangkasa berstatus Bumiputera, menyasarkan Johor sebagai hab pembuatan pesawat ringan dan pusat pembangunan bakat aeroangkasa serantau.
Pengarah Urusan merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Aeronas, Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra berkata, syarikat itu komited membangunkan ekosistem aeroangkasa tempatan yang menyeluruh merangkumi aspek pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan serta pembangunan modal insan.
Katanya, Malaysia selama ini lebih dikenali sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), selain pengeluar komponen aeroangkasa untuk syarikat antarabangsa.
“Menerusi Aeronas, negara kini mula membuktikan keupayaan untuk menghasilkan pesawat lengkap yang boleh dipasarkan dan diterbangkan ke seluruh dunia.
“Kejayaan memperoleh tempahan antarabangsa membuktikan Malaysia mempunyai bakat, kepakaran dan keupayaan untuk muncul sebagai pemain baharu dalam industri pembuatan pesawat global.
“Sebagai anak jati Johor, saya mahu melihat negeri ini muncul sebagai pusat pembangunan industri aeroangkasa negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak tempatan,” katanya ketika ditemui di fasiliti Aeronas di sini, Jumaat lalu.
Raja Shazreen berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2023 itu kini mengendalikan kemudahan pembuatan di Senai dan Iskandar Puteri, selain sedang membangunkan sebuah fasiliti baharu yang dijadualkan mula beroperasi pada suku keempat tahun ini.
Menurutnya, fasiliti separa pengeluaran yang beroperasi ketika ini mampu menghasilkan sehingga 30 pesawat setahun.
“Apabila kemudahan pembuatan penuh siap kelak, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat kepada 60 pesawat setahun bagi setiap barisan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata, Aeronas turut menerima sokongan kerajaan menerusi kelulusan Lesen Pengilang di bawah Status Perintis (Pioneer Status) oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Selain itu, Invest Johor mengeluarkan Surat Tiada Halangan (NOL) bagi tapak operasi syarikat serta menyokong penempatan inisiatif Aeronas di negeri ini.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat dan penyelidikan aeroangkasa, Aeronas menjalin kerjasama strategik dengan beberapa institusi pengajian tinggi dan latihan kemahiran termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan TVET MARA.
Katanya, syarikat itu turut mengumumkan endowmen bernilai RM51 juta kepada UTeM bagi menyokong pembangunan tenaga mahir tempatan dalam bidang aeroangkasa, sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan modal insan negara.
Raja Shazreen berkata, operasi Aeronas ketika ini dijangka mewujudkan lebih 450 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bertaraf dunia, dengan semua jawatan teknikal utama diterajui tenaga kerja tempatan.
Katanya, usaha itu selari dengan aspirasi Kerajaan Johor untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bergaji premium.
“Selain pekerjaan langsung, kami menjangkakan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam sektor logistik, perkhidmatan sokongan dan industri berkaitan.
“Apabila operasi pengeluaran mencapai kapasiti penuh, industri ini berpotensi mewujudkan sehingga 20,000 peluang pekerjaan menerusi keseluruhan rantaian nilai aeroangkasa negara,” katanya.
Mengulas usaha meningkatkan kandungan tempatan, beliau berkata, 78 peratus kerja pembuatan pesawat kini dilaksanakan di Malaysia dan angka itu dijangka meningkat kepada 100 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Terdahulu, Aeronas mencipta sejarah apabila menerima tempahan 50 pesawat ringan model MYPX5 MARK I dan MYPX5 MARK II berkapasiti enam tempat duduk bernilai RM357 juta menerusi kerjasama strategik dengan Konsortium Wholechoice dari Hong Kong.
Tempahan itu membuka laluan lebih luas kepada eksport pesawat ringan buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




