Deir el-Balah, Palestin: Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas berkata kakitangan PBB terbunuh dan lima lagi parah pada Rabu akibat serangan Israel ke atas ibu pejabat pertubuhan itu, sementara tentera Israel menafikannya.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan berkata, “satu kematian dan lima kecederaan serius dalam kalangan kakitangan asing yang bekerja untuk institusi PBB… akibat pengeboman ke atas ibu pejabat mereka oleh pihak penjajah di wilayah tengah sebentar tadi (Rabu).”
Menurut kementerian itu, mangsa sudah dibawa ke Hospital Al-Aqsa Martyrs.
AFP belum dapat mengesahkan maklumat ini dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Rakaman AFPTV dari Deir el-Balah menunjukkan kenderaan PBB dan sebuah ambulans membawa tiga lelaki ke Hospital Al-Aqsa.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel menafikan menyerang bangunan PBB di Gaza, dengan berkata: “Berlawanan dengan laporan, IDF (tentera) tidak menyerang kompleks PBB di Deir el-Balah.”
Seorang jurucakap tentera Israel memberitahu AFP: “Saya mengesahkan bahawa tiada aktiviti operasi IDF di sana dan IDF tidak menyerang kompleks PBB.”
Rakaman AFPTV dari Hospital Al-Aqsa menunjukkan dua lelaki yang kelihatan mengalami kecederaan di kaki dan seorang lagi dengan balutan di kedua-dua lengan serta perut, dengan kesan darah di dadanya.
Dua daripada mereka yang cedera memakai jaket kalis peluru, dengan salah seorang memakai kemeja-T UNMAS, Perkhidmatan Tindakan Perobohan Ranjau PBB, di bawahnya.
Agensi pertahanan awam Gaza sebelum ini berkata pada Rabu bahawa 13 orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas wilayah Palestin sejak tengah malam.
Antara malam Isnin dan Selasa, Israel melancarkan gelombang serangan ke atas Gaza, yang setakat ini paling dahsyat sejak gencatan senjata rapuh berkuat kuasa pada 19 Januari.
Serangan itu membunuh lebih daripada 400 orang, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan oleh Hamas, menjadikannya antara hari paling berdarah sejak perang bermula akibat serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd




