Bandaraya Gaza: Israel mengumumkan operasi darat baharu di Gaza pada Rabu dan mengeluarkan ‘amaran terakhir’ kepada penduduk wilayah Palestin itu supaya mengembalikan tawanan dan menyingkirkan Hamas daripada kuasa.
Tentera Israel minggu ini melancarkan gelombang serangan udara paling dahsyat sejak gencatan senjata bermula pada Januari, mengorbankan ratusan orang, menurut Kementerian Kesihatan dikuasai Hamas.
Tentera Israel menyatakan mereka memulakan operasi darat bersasar di bahagian tengah dan selatan Gaza bagi memperluaskan perimeter keselamatan dan mewujudkan zon penampan separa antara utara dan selatan.
Ketika Israel meneruskan pengeboman baharu meskipun berdepan gesaan antarabangsa untuk mengekalkan gencatan senjata, ribuan penduduk yang melarikan diri memenuhi jalan-jalan di Gaza pada Rabu.
Keluarga dengan anak kecil meninggalkan Gaza utara menuju ke kawasan lebih selatan, bimbang akan keselamatan mereka selepas Israel menggesa penduduk meninggalkan kawasan yang digelar sebagai zon pertempuran.
Fred Oola, pegawai perubatan kanan di hospital lapangan Palang Merah di Rafah berkata, serangan baharu itu menghancurkan ketenangan relatif selama dua bulan lalu.
“Sekarang, kita dapat merasakan panik di udara… dan kita dapat melihat kesakitan serta kehancuran di wajah mereka yang kita bantu,” katanya dalam satu kenyataan.
Berucap kepada penduduk Gaza – yang diperintah oleh Hamas sejak 2007 – Menteri Pertahanan Israel Israel Katz berkata dalam satu kenyataan video: “Ini adalah peringatan terakhir.”
“Dengar nasihat Presiden Amerika Syarikat (AS). Pulangkan tawanan dan singkirkan Hamas, dan pilihan lain akan terbuka untuk anda – termasuk kemungkinan berpindah ke tempat lain di dunia bagi mereka yang mahu.”
Beliau merujuk kepada amaran Presiden AS Donald Trump awal bulan ini, yang berkata: “Kepada Rakyat Gaza: Masa depan yang indah menanti, tetapi bukan jika anda menahan tawanan. Jika anda melakukannya, anda mati!”
Daripada 251 tawanan yang diculik ketika serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang, 58 masih ditahan oleh militan Gaza, termasuk 34 yang menurut tentera Israel sudah mati.
Sehingga kini, Hamas belum memberikan tindak balas ketenteraan terhadap serangan itu, dan seorang pegawai kumpulan itu berkata mereka terbuka untuk berbincang bagi mengembalikan gencatan senjata.
Namun, beliau menolak tuntutan Israel untuk merundingkan semula perjanjian tiga peringkat yang telah dipersetujui dengan perantara Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat.
“Hamas tidak menutup pintu rundingan tetapi kami bertegas bahawa tiada keperluan untuk perjanjian baharu,” kata Taher al-Nunu kepada AFP, sambil menuntut Israel memulakan fasa kedua rundingan.
Perbincangan menemui jalan buntu mengenai bagaimana untuk meneruskan gencatan senjata, yang mana fasa pertama tamat pada awal Mac.
Israel dan Amerika Syarikat berusaha mengubah terma perjanjian dengan memanjangkan fasa pertama – satu langkah yang ditolak oleh Hamas.
Ini akan menangguhkan permulaan fasa kedua, yang sepatutnya menetapkan gencatan senjata berkekalan dan pengunduran Israel dari Gaza sambil baki tawanan dibebaskan dengan pertukaran tahanan Palestin.
“Bergerak ke fasa kedua nampaknya bukan pilihan bagi Israel,” kata Ghassan Khatib, seorang penganalisis politik dan bekas menteri Pihak Berkuasa Palestin.
“Mereka tidak suka fasa kedua kerana ia membabitkan penamatan perang tanpa semestinya mencapai objektif mereka untuk menamatkan Hamas.”
Israel dan sekutunya Amerika Syarikat menggambarkan penolakan Hamas terhadap lanjutan fasa pertama sebagai keengganan untuk membebaskan lebih ramai tawanan.
Pengeboman hebat Israel menghantar gelombang baharu mangsa ke beberapa hospital yang masih beroperasi di Gaza dan mencetuskan kebimbangan mengenai kembalinya peperangan berskala penuh selepas dua bulan ketenangan relatif.
Seorang pekerja Pejabat Projek PBB terbunuh dan sekurang-kurangnya lima lagi cedera apabila sebuah bangunan PBB di bandar tengah Deir el-Balah terkena serangan, kata agensi itu.
Kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas menyalahkan Israel, sementara tentera Israel menafikan menyerang kawasan itu.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres terkejut dengan kematian kakitangan itu dan menyeru supaya siasatan penuh dilakukan, kata jurucakap Farhan Haq.
Kementerian Luar Israel kemudian mengumumkan insiden itu sedang disiasat, dan menyatakan kesedihan atas kematian warga Bulgaria, seorang kakitangan PBB, dan menekankan ia tiada kaitan dengan aktiviti IDF.
Hamas menyifatkan insiden itu sebagai sebahagian daripada dasar sistematik Israel untuk menyasarkan orang awam dan pekerja bantuan, bertujuan menakutkan mereka dan menghalang mereka daripada menjalankan tugas kemanusiaan.
Menteri Luar Britain David Lammy menyatakan di X bahawa beliau terkejut dengan insiden itu, yang harus disiasat secara telus dan mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan.
Ribuan penunjuk perasaan Israel berkumpul di Jerusalem, menuduh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu meneruskan serangan di Gaza tanpa mengambil kira keselamatan baki tawanan yang masih hidup.
“Kami mahu dia tahu bahawa isu paling penting adalah membawa pulang tawanan,” kata Nehama Krysler, 67 tahun.
Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock berkata, serangan Israel ke atas Gaza “telah menghancurkan harapan nyata begitu ramai rakyat Israel dan Palestin untuk mengakhiri penderitaan di kedua-dua pihak.”
Ketua dasar luar Kesatuan Eropah Kaja Kallas menyifatkan serangan baharu di Gaza sebagai “tidak boleh diterima.”
Perang bermula dengan serangan Hamas ke atas Israel pada 2023, yang mengorbankan 1,218 orang, kebanyakannya orang awam, menurut angka Israel.
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata lewat Rabu bahawa sekurang-kurangnya 470 orang terbunuh di wilayah itu sejak Israel menyambung semula serangan udara besar-besaran dari Isnin malam hingga Selasa.
Agensi itu melaporkan 14 anggota keluarga yang sama terbunuh dalam serangan Israel di utara.
Sehingga Isnin, sebelum serangan intensif bermula semula, jumlah kematian keseluruhan di Gaza sejak permulaan perang melebihi 48,570 orang, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd