APMM rampas heroin, meth bernilai RM40,000 dalam bot di perairan Perak

APMM rampas heroin, meth bernilai RM40,000 dalam bot di perairan Perak

am@hmetro.com.my

Parit Buntar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kurau merampas dadah disyaki heroin dan methamphetamine bernilai kira-kira RM40,000 dalam satu operasi khas di perairan Perak, dekat sini, semalam.

Pengarah APMM Zon Kuala Kurau Mohd Hairil Othman berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan muara sungai terpencil.

Menurutnya, dalam operasi itu pihaknya mengesan dua lelaki berada dalam sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran di kawasan berkenaan.

Katanya, menyedari kehadiran pihak berkuasa kedua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

“Hasil pemeriksaan terhaadap bot itu ditemukan dadah yang sudah siap dibungkus dan dipercayai untuk tujuan pengedaran.

“Kami turut menemui wang tunai berjumlah kira-kira RM2,500 dalam sebuah beg yang ditinggalkan di atas bot selain beberapa unit telefon bimbit dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti transaksi bahan terlarang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat APMM Zon Kuala Kurau untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut undang-undang berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top