am@hmetro.com.my
Temerloh: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul tiga wanita di bazar Ramadan, Lurah Semantan di sini.
Tertuduh, Nazarin Romeli, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tan Chiew King.
Lelaki berstatus duda itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap tiga wanita masing-masing berusia 22 tahun, 26 dan 28 pada 6 Mac 2025, antara jam 6.20 hingga 6.40 petang.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul dua wanita berusia 26 tahun dan 28 tahun di tapak Bazar Ramadan Lurah Semantan jam 6.40 petang pada 6 Mac lalu.
Tertuduh juga didakwa telah mencabul seorang wanita berusia 22 tahun di bazar sama kira-kira jam 6.20 petang pada 10 Mac lalu.
Kesemua perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Adriana Azrin manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Syazwani Roslan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin terhadap lelaki itu yang turut disahkan menghidap HIV positif.
Kes akan disebut semula pada 17 April 2025 bagi pengurusan dokumen dan pelantikan peguam.
Sebelum ini, video memaparkan kelakuan suspek mencabul beberapa pengunjung wanita di bazar Ramadan itu tular di TikTok, menyebabkan tiga mangsa tampil membuat laporan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




