Tiket Amerika Syarikat menentang Australia melambung, penyokong kena bayar hingga RM8,000

Tiket Amerika Syarikat menentang Australia melambung, penyokong kena bayar hingga RM8,000

New York: Demam Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat semakin panas apabila harga tiket perlawanan membabitkan skuad tuan rumah menentang Australia melonjak mendadak di pasaran sekunder, mencecah sehingga $1,735 (kira-kira RM8,200) untuk satu tiket.

Lonjakan itu berlaku selepas kemenangan bergaya Amerika Syarikat 4-1 ke atas Paraguay dalam aksi pembukaan, sekali gus mencetuskan gelombang permintaan tinggi dalam kalangan penyokong yang mahu menyaksikan aksi seterusnya.

Menurut data TicketData, harga tiket “get in” bagi perlawanan Kumpulan D itu meningkat sekitar 61 peratus dalam tempoh tiga hari, dengan kebanyakan kenaikan berlaku sejurus selepas keputusan cemerlang USMNT di Inglewood.

Perlawanan menentang Australia yang dijadualkan di Seattle pada Jumaat ini kini menjadi antara tiket paling panas di pasaran, walaupun masih beberapa hari sebelum sepak mula.

Tidak hanya itu, perlawanan terakhir kumpulan Amerika Syarikat menentang Turki di Inglewood turut menyaksikan lonjakan harga sehingga 73 peratus kepada sekitar $1,516 (RM7,100).

Kemenangan besar 4-1 ke atas Paraguay bukan sahaja mencipta sejarah buat Amerika Syarikat yang pertama kali menjaringkan empat gol dalam aksi Piala Dunia, malah turut memberi impak besar kepada pasaran tiket.

Kecemerlangan dua jaringan Folarin Balogun serta gol Gio Reyna menjadikan skuad kendalian Mauricio Pochettino kini dilihat lebih meyakinkan oleh peminat dan penganalisis.

Situasi itu turut mengubah pandangan syarikat pertaruhan apabila peluang Amerika Syarikat menjulang Piala Dunia dilaporkan meningkat kepada 40-1 berbanding 50-1 sebelum kejohanan bermula.

Setakat ini, Amerika Syarikat menjadi antara pasukan paling mahal untuk ditonton dalam kejohanan berkenaan, di belakang Mexico, Brazil dan Portugal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top