ATM terima sumbangan RM1.95 juta

ATM terima sumbangan RM1.95 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sumbangan lebih RM 1.95 juta daripada 74 penyumbang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sumbangan dalam bentuk barangan dan kewangan itu disumbangkan syarikat-syarikat dan ahli korporat.

“Sumbangan kewangan yang diterima adalah sebanyak RM1,777,500 dan RM178,920 dalam bentuk barangan yang secara keseluruhannya menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM1,956,429,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada ATM di Auditorium Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, ATM menyediakan 15,000 beg hari raya untuk diagihkan kepada anggota yang bertugas di dalam serta luar negara pada hari lebaran nanti.

Beliau berkata, sumbangan sebagai tanda penghargaan dan ingatan kepada wira negara yang sentiasa komited menjalankan amanah dengan penuh dedikasi, meskipun terpaksa berjauhan daripada keluarga dan suasana lebaran.

“Sangat penting untuk kita semua menzahirkan ingatan, sokongan serta penghargaan kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran nanti.

“Kita percaya sumbangan tulus ikhlas ini memberi erti yang besar dan turut membawa makna bahawa segala pengorbanan warga ATM kepada negara tidak pernah dilupakan apatah lagi dinafikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top