am@hmetro.com.my
Telupid: Usaha menangani konflik antara manusia dan gajah kini diambil menerusi pendekatan jangka panjang dengan mewujudkan Program Taman Hutan Bersepadu yang menyediakan sumber makanan semula jadi untuk haiwan terbabit di habitatnya.
Pendekatan itu diambil Community Elephant Ranger Team (CERT) melalui Projek Harmoni Manusia-Gajah Telupid dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Telupid bersama komuniti serta lebih 200 sukarelawan untuk mengurangkan kehadiran gajah ke kawasan penempatan.
Koordinator projek itu, Alvein Dee Albenus berkata, usaha awal sudah dimulakan tahun lalu dengan menanam pelbagai jenis buah-buahan sebagai sumber makanan tambahan gajah di Hutan Simpan Tawai dengan sasaran untuk menyediakan sekurang-kurangnya 9.7 hektar kawasan sebagai santuari gajah.
Katanya, pendekatan yang diambil itu dijangka lebih berkesan kerana memberi tumpuan terhadap pemulihan habitat dan penyediaan sumber makanan semula jadi kepada gajah.
Mengimbau ketika konflik di antara manusia dan gajah memuncak pada 2016 hingga 2018, Alvein berkata, ramai penduduk terkesan terutama di Kampung Gambaron, Bauto, Liningkung, Telupid dan beberapa kampung lain termasuk Pekan Telupid.
“Apabila gajah aktif, ia muncul setiap hari tidak kira waktu. Pernah sehingga dua bulan berturut-turut gajah masuk ke kampung tanpa henti.
“Ia memberi cabaran besar terhadap pasukan apabila menjalankan operasi mengiring gajah keluar dari penempatan terutama apabila haiwan itu sedang ‘naik minyak’ dan agresif seperti musim mengawan atau lapar,” katanya.
Menurutnya, keadaan lebih mencabar apabila operasi mengiring gajah masuk semula ke hutan dilakukan pada waktu malam dan cuaca hujan dengan pasukan tidak dapat mengenal pasti lokasi sebenar gajah.
Katanya, muka bumi yang berbukit dan licin turut meningkatkan risiko kepada sukarelawan, malah ada yang pernah terjatuh, terseliuh dan hampir dipijak gajah ketika menjalankan pemantauan.
“Pada masa sama, kami juga berdepan masalah kekurangan anggota dan terpaksa bergerak melakukan operasi dalam bilangan lebih kecil biarpun ia tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu sekurang-kurangnya lima orang bagi setiap operasi.
“Kami sedar risikonya, tetapi kami tetap turun membantu kerana komuniti yang terkesan adalah masyarakat kami sendiri,” katanya.
Alvein berkata, pasukan itu juga giat meningkatkan kesedaran penduduk mengenai undang-undang perlindungan hidupan liar bagi mengelakkan tindakan mencederakan atau membunuh gajah akibat kemarahan selepas tanaman dimusnahkan.
“Ada penduduk yang masih tidak tahu gajah Pygmy Borneo disenaraikan dalam Jadual 1, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




