‘Dunia semestinya bangkit menentang kezaliman ini’

‘Dunia semestinya bangkit menentang kezaliman ini’

– Advertisement –

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengecam tindakan Israel yang menamatkan gencatan senjata di Gaza dan melancarkan serangan udara sehingga mengorbankan lebih 300 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak. 

Beliau menegaskan bahawa tindakan Israel itu bukan sahaja membuktikan keangkuhan rejim Zionis, malah satu bentuk pengkhianatan kejam terhadap penduduk Gaza yang telah lama menderita akibat kepungan dan penindasan berterusan. 

“Israel berleluasa melakukan kekejaman tanpa belas kasihan, membunuh ribuan nyawa yang tidak bersalah, termasuk bayi dan wanita.

“Di manakah suara keadilan? Sampai bila dunia mahu membiarkan darah rakyat Palestin terus tumpah tanpa pembelaan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban perang kini melebihi 48,000 orang, manakala pejabat media Gaza menganggarkan jumlah kematian sebenar boleh mencecah 61,700 akibat mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan. 

Pemimpin HAMAS dan Jihad Islam dilaporkan turut menyifatkan tindakan Israel itu sebagai sabotaj kepada proses damai.

“Manakala Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tanpa rasa malu dan perikemanusiaan mengarahkan serangan dengan alasan tiada kemajuan dalam rundingan lanjutan gencatan senjata,” jelas Nuridah.

Anggota biro politik HAMAS, Izzat al-Risheq dilaporkan menyatakan bahawa Israel sanggup mengorbankan tawanan mereka sendiri demi melanjutkan agenda peperangan yang zalim. 

Nuridah turut menyeru umat Islam dan masyarakat dunia untuk bersatu dalam memperjuangkan kebebasan Palestin serta menghentikan kekejaman Zionis. 

“Dunia semestinya bangkit menentang kezaliman ini. Ya Allah, berikanlah kemenangan kepada rakyat Gaza! Satukan hati-hati mereka dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin.

“Hancurkanlah kezaliman Zionis, dan bebaskanlah Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman musuh. Semoga rakyat Palestin terus kuat dan diberi pertolongan oleh Allah dalam perjuangan suci ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

– Advertisement –

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top