Tindakan khianat cemar nama profesion peguam

Tindakan khianat cemar nama profesion peguam

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan khianat segelintir pengamal undang-undang pecah amanah mencemarkan profesion peguam sebagai antara pekerjaan dipandang tinggi dalam masyarakat.

Majlis Peguam Malaysia (MPM) dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius isu itu berikutan jumlah kerugian dialami mangsa amat membimbangkan.

“Kami menegaskan bahawa majoriti peguam melaksanakan tanggungjawab mereka secara amanah dan berintegriti.

“Bagaimanapun, isu ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan terhadap salah laku profesional dalam profesion guaman.

“Majlis Peguam mengguna sepenuhnya kuasa yang diberi termasuk campur tangan dan mengambil alih akaun pelanggan sebagai pemegang amanah akaun berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai punca perkara ini terjadi, Majlis Peguam Malaysia berkata, masalah integriti adalah sebab utama segelintir peguam terjebak dengan gejala pecah amanah.

Menurutnya, kurangnya mekanisme pemantauan di dalam firma guaman itu sendiri turut menyumbang kepada berlakunya kegiatan ini.

“Firma guaman yang tidak mempunyai sistem pemantauan kewangan yang ketat boleh membuka ruang kepada salah laku.

“Tidak mematuhi garis panduan seperti pemisahan akaun pelanggan daripada akaun firma juga boleh meningkatkan risiko pecah amanah,” katanya.

Menurutnya, pengukuhan kerjasama antara Majlis Peguam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga penting bagi mengatasi isu berkenaan.

Katanya, Majlis Peguam akan menjalankan latihan mengenai etika profesionalisme dan pengurusan kewangan secara berterusan bagi mendepani isu itu dalam jangka panjang.

Selain itu, kataya, satu pangkalan data yang komprehensif dan efisien diperlukan bagi kegunaan orang awam untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai latar belakang dan rekod peguam berdaftar.

“Direktori Guaman Badan Peguam Malaysia yang boleh diakses melalui portal ‘Find a Lawyer’ membolehkan orang awam mendapatkan maklumat terkini mengenai peguam yang mempunyai Sijil Amalan yang sah dan firma guaman yang berdaftar dengan Majlis Peguam.

“Direktori ini juga menyediakan nama, butiran firma dan bidang amalan firma tersebut yang dapat membantu orang awam mendapatkan wakil guaman yang sesuai dan maklumat untuk membuat keputusan tepat dalam melantik peguam,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menangani isu pecah amanah peguam antaranya pelaksanaan program pengurusan risiko, ELEVATE yang dilancarkan pada 16 Mac tahun lalu.

Menurutnya, penerbitan buletin bulanan, I-RiskSpot juga menyediakan maklumat berkaitan indemniti dan pengurusan risiko dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai trend terkini yang perlu diberi perhatian oleh pengamal undang-undang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top