am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Banjir yang semakin memburuk di bandar raya ini dipercayai menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang luar biasa sejak petang tadi.
Penjawat awam, Annaz Md Nor, 40, berkata, dia bersama dua anaknya terperangkap dalam kesesakan selepas keluar dari pejabat pada 6.15 petang dan tidak sempat pulang ke rumah untuk berbuka puasa.
“Ketika itu, saya lihat aplikasi Waze, jangkaan tiba di rumah di Taman Austin Perdana pada 8.15 malam. Jadi, saya buat keputusan berhenti untuk berbuka puasa dan solat Maghrib dahulu sebelum sambung perjalanan.
“Bagaimanapun, sebaik menyambung perjalanan pada 8.15 malam, kesesakan jalan raya semakin teruk dan sehingga 11 malam, kami belum sampai di rumah.
“Sepatutnya perjalanan pulang hanya mengambil masa 25 minit sahaja atau paling lewat 45 minit,” katanya ketika dihubungi.
Annaz difahamkan kesesakan berlaku akibat beberapa jalan yang ditutup kerana banjir, malah dia sempat melihat kira-kira lima kenderaan tersadai di tepi jalan gara-gara terperangkap lama.
Terdahulu, ada pengguna jalan raya di bandar raya ini berkongsi maklumat mengenai kesesakan itu yang dianggap jarang berlaku di media sosial.
Bagi tiga anak, Mohd Raflik Affandi, 41, dia terperangkap hampir dua jam dalam kesesakan lalu lintas untuk pulang ke rumah di Taman Setia Indah dari rumah mentua di Kampung Mahmoodiah.
“Saya buka puasa di rumah mentua kerana tahu tidak sempat sampai rumah, namun selepas berbuka pun masih juga tersangkut dalam kesesakan,” katanya yang hanya tiba di rumahnya pada 10.30 malam, berbanding perjalanan biasa yang sepatutnya memakan masa 20 ke 30 minit.
Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan lima daerah terjejas banjir antaranya Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Kulai dan Pontian.
Jumlah terkini mangsa banjir negeri itu mencecah 5,092 (1,284 keluarga) yang ditempatkan di 79 pusat pemindahan sementara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




