KUALA LUMPUR: Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia dengan tegas dan tanpa kompromi mengecam segala bentuk tindakan pengeboman yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas Gaza.
Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, serangan ke atas Utara Gaza, Bandar Gaza, Deir al-Balah, Khan Younis dan Rafah itu jelas satu tindakan genosid yang merupakan antara jenayah paling berat terhadap kemanusiaan.
“Serangan ini dimulakan serta-merta selepas pembatalan perjanjian gencatan senjata yang telah dimeterai pada 19 Januari 2025. Pembatalan ini telah menyebabkan nasib 59 tebusan menjadi tanda tanya.
“Selain itu, waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, langsung tidak memberi kesan.
“Malah, mereka berdua dilihat bebas melakukan apa sahaja tanpa sebarang tindakan tegas,” katanya terhadap serangan yang menyebabkan lebih 400 nyawa terkorban dan kecederaan lebih 500 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.
Beliau turut mengecam sikap pilih kasih yang diamalkan ICC, di mana waran tangkap terhadap bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dikuatkuasakan serta-merta dengan tindakan segera diambil, tetapi tidak bagi Netanyahu dan Gallant.
“Sikap pilih kasih ini menunjukkan ketidakkonsistenan ICC dalam menangani jenayah terhadap kemanusiaan, sekali gus mencemarkan kredibiliti badan kehakiman antarabangsa dan prinsip keadilan sejagat.
“Tindakan genosid bukan sahaja mengorbankan nyawa individu, malah turut merosakkan asas sosial, budaya, dan identiti yang telah dibina selama berabad-abad.
“Kaedah keganasan yang digunakan daripada pembunuhan secara besar-besaran, penderaan, pemerkosaan, sehinggalah pemindahan secara paksa meninggalkan kesan yang mendalam dan memberi impak jangka panjang kepada generasi akan datang,” ujarnya.
Justeru, pihaknya menyeru agar seluruh komuniti antarabangsa, agensi kerajaan, pertubuhan hak asasi manusia dan masyarakat sivil berganding bahu untuk mencegah berlakunya tragedi ini secara berterusan.
“Palestin mempunyai hak untuk hidup bebas daripada serangan dan gangguan negara lain. Masyarakat global perlu terus mengingati dan belajar daripada peristiwa hitam masa lalu agar nilai-nilai toleransi, keamanan, dan penghormatan terhadap perbezaan dapat terus dipelihara dan berkembang.
“Kami menolak dengan tegas segala bentuk kekejaman ke atas rakyat Palestin kerana tindakan sedemikian bukan sahaja memberi mudarat kepada mangsa secara langsung, malah turut mengancam kestabilan dan keharmonian global,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!