Bekas pakar bedah mengaku atas kesalahan seksual terhadap 299 mangsa

Bekas pakar bedah mengaku atas kesalahan seksual terhadap 299 mangsa

Rennes, Perancis: Seorang bekas pakar bedah yang sedang dibicarakan kerana didakwa merogol atau menyerang secara seksual 299 mangsa, dengan kebanyakan di bawah umur 15 tahun, mengakui bersalah atas semua kesalahan terbabit, kata seorang daripada peguamnya.

Joel Le Scouarnec, 74, dibicarakan di bandar Vannes, sejak awal bulan ini dalam satu kes penderaan seksual kanak-kanak terbesar di negara itu.

Beliau didakwa atas tuduhan menyerang atau merogol pesakit yang berada dalam keadaan tidak sedar ketika perbuatan jijik itu dilakukan, di beberapa hospital antara 1989 hingga 2014.

“Saya mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu kebenaran,” kata Le Scouarnec semasa perbicaraan pada Khamis lalu yang dijalankan secara tertutup, menurut peguamnya, Maxime Tessier.

Tessier berkata, beliau sudah bertanya Le Scouarnec sama ada orang ramai yang disebut dalam buku nota yang dirampas oleh penyiasat adalah mangsanya, dan Le Scouarnec menjawab, ‘Ya’.

“Saya bertanya kepadanya sama ada dia bersetuju bahawa 299 tuduhan terbabit adalah kesalahan (jenayah) dan dia menjawab ‘Ya’,” tambah Tessier.

Sehingga kini, Le Scouarnec hanya mengakui kesalahannya berdasarkan kes demi kes semasa prosiding berlangsung dengan tumpuan diberikan kepada buku nota yang digunakan untuk merekodkan penderaan yang dilakukan terhadap mangsanya.

Semasa siasatan dijalankan, beliau menafikan banyak dakwaan dengan alasan beliau hanya menjalankan tugas perubatan.

“Saya memohon kepada mahkamah untuk mencatatkan dalam minit prosiding bahawa Le Scouarnec mengakui kesalahannya terhadap 299 tuduhan terbabit,” kata Tessier.

“Pengakuan ini adalah langkah penting bagi membolehkan mangsa meneruskan kehidupan mereka, dan adalah baik ia berlaku pada peringkat perbicaraan ini,” kata Frederique Giffard, seorang peguam yang mewakili kira-kira 15 pihak awam.

Bekas pakar bedah itu kini dipenjarakan selepas didapati bersalah pada 2020 atas penderaan terhadap empat kanak-kanak, termasuk dua anak saudara perempuannya.

Pakar bedah itu tidak pernah disiasat sepanjang kariernya meskipun pada 2005 didapati bersalah kerana memiliki gambar-gambar seksual penderaan kanak-kanak.

Beliau terus bekerja sehingga bersara pada 2017, selepas seorang kanak-kanak berusia enam tahun menuduhnya merogol dan polis menemukan catatan dalam komputer miliknya yang merekodkan penderaan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top