farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menjadi tonggak pembangunan Bumiputera dan pemain penting di pentas global bagi tempoh empat dekad mendatang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata selepas enam dekad memainkan peranan sebagai institusi pembangunan, MARA kini perlu melangkah ke fasa baharu dengan memperkukuh ekosistem merangkumi pendidikan, latihan kemahiran, keusahawanan, pembiayaan dan pelaburan strategik.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bagaimanapun berkata, kekuatan MARA tidak boleh dibina secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara semua pemegang taruh Bumiputera bagi memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan.
“Jika enam dekad lalu menjadi asas kekuatan MARA, maka dekad mendatang mesti menjadi medan lonjakan baharu untuk membawa institusi ini ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika berucap menyempurnakan Malam Gala Persada MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa MARA mesti bergerak daripada sebuah institusi yang hanya membuka peluang, kepada sebuah ekosistem yang membina kekuatan.
Katanya, MARA bukan saja perlu melahirkan penerima manfaat, tetapi melahirkan generasi yang mampu bersaing dan memimpin.
“Agenda MARA mesti berpaksikan tiga perkara besar iaitu penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi Bumiputera.
“Semangat ini mesti selari dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) serta Pelan Strategik MARA 2026– 2030.
“Namun, pelan sahaja tidak mencukupi. Yang lebih penting ialah keberanian untuk melaksanakannya dengan jujur, tegas dan pantas,” katanya
Ahmad Zahid berkata, dalam sektor tenaga kerja, latihan MARA mesti terus dipadankan dengan keperluan industri.
“Dengan 345 institusi pendidikan dan lebih 143,000 pendaftaran pelajar, MARA mempunyai kapasiti besar untuk membentuk bakat negara.
“Institusi MARA tidak boleh hanya menjadi tempat menimba ilmu, tetapi medan mencipta nilai dan inovasi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, dalam sektor pelaburan pula, MARA mesti lebih berani menerusi 32 syarikat aktif dalam sektor seperti pendidikan, kewangan, hartanah, aeroangkasa, pengangkutan dan perkhidmatan industri.
“Aset MARA mesti dioptimumkan dengan disiplin, tadbir urus yang baik dan keberanian komersial yang jelas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




