Miami Gardens, Amerika Syarikat: Pelumba Red Bull Racing, Isack Hadjar akan memulakan perlumbaan dari grid belakang pada Grand Prix Miami selepas dibatalkan penyertaan dalam sesi kelayakan.
Hadjar sebelum itu mencatat masa kesembilan terpantas dalam sesi kelayakan, namun keputusan berkenaan dibatalkan selepas pemeriksaan teknikal mendapati jenteranya tidak mematuhi peraturan.
Menurut pegawai perlumbaan, bahagian lantai jentera milik pelumba Perancis itu tidak mematuhi spesifikasi apabila dimensinya melebihi dua milimeter daripada had isipadu rujukan yang ditetapkan dalam peraturan 2026.
Red Bull menerima keputusan itu dan mengakui berlaku pelanggaran peraturan teknikal.
Ketua pasukan, Laurent Mekies berkata, kesilapan berkenaan tidak memberi sebarang kelebihan kepada pasukan.
“Kami melakukan kesilapan dan menghormati keputusan pegawai perlumbaan. Tiada kelebihan dicari atau diperoleh daripada kesilapan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya akan menilai semula prosedur dalaman bagi memahami punca kejadian dan memastikan perkara sama tidak berulang.
Susulan itu, Hadjar, 21, terpaksa bermula di kedudukan terakhir iaitu tempat ke-22.
Rakan sepasukannya, Max Verstappen yang juga juara dunia empat kali akan memulakan perlumbaan di barisan hadapan bersama pelumba Mercedes-AMG Petronas, Kimi Antonelli yang meraih petak utama dan kini mendahului kejuaraan dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




