Jumlah pesakit buah pinggang di Besut meningkat, perlu tambah mesin hemodialisis

Jumlah pesakit buah pinggang di Besut meningkat, perlu tambah mesin hemodialisis

am@hmetro.com.my

Besut: Hospital Besut memerlukan tambahan mesin hemodialisis untuk menampung keperluan pesakit buah pinggang yang semakin meningkat.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Besut Datuk Dr Mohd Johari Mohamad berkata, lebih 500 pesakit buah pinggang berada dalam senarai menunggu untuk menerima rawatan.

Katanya, setakat ini, pesakit aktif menjalani rawatan di hospital berkenaan ialah 150 orang dan mereka menggunakan 32 mesin hemodialisis setiap minggu.

“Walaupun ada empat pusat hemodialisis swasta di daerah ini, namun ia masih belum dapat menampung jumlah pesakit.

“Secara purata, dalam seminggu, seorang atau dua pesakit kronik buah pinggang terpaksa dirujuk ke hospital kerana kesukaran untuk bernafas serta uzur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Ahli Lembaga Pelawat serta Pengarah Hospital Besut, di sini, semalam.

Mohd Johari berkata, tambahan mesin hemodialisis perlu seiring dengan pertambahan kakitangan terlatih yang mahir menggunakan mesin berkenaan.

“Kita juga berharap, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau Pejabat Pembangunan Persekutuan boleh membantu untuk menampung dana membeli tambahan mesin hemodialisis,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, selaras dengan pertambahan doktor pakar di hospital berkenaan, pihaknya juga memohon supaya langkah untuk menarik taraf peralatan turut dilakukan.

“Buat masa sekarang, doktor terpaksa menggunakan peralatan sedia ada seperti ultrasound dan beberapa mesin lain, namun ada mesin tidak boleh berfungsi.

“Setakat ini, permohonan untuk menaik taraf peralatan dilakukan secara prosedur biasa melalui mesyuarat namun kita sarankan supaya langkah segera diambil untuk menggantikan peralatan lama dengan yang terkini,” katanya.

Pada majlis itu, 170 hamper makanan diserah kepada pesakit yang menerima rawatan di Hospital Besut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top