Terpaksa berpisah dengan isteri akibat tak mampu sara keluarga

Terpaksa berpisah dengan isteri akibat tak mampu sara keluarga

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki hidup sebatang kara selepas diuji masalah saraf dan diabetes bersyukur menerima sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk meringankan bebannya.

Rozman Hasyim, 52, dari Batu Caves, di sini, berkata dia diberhentikan kerja sebagai pemandu peribadi orang kenamaan selepas kaki kanannya dipotong akibat kencing manis pada Januari tahun lalu.

Menurutnya, pergerakannya kini terbatas serta hanya bergantung dengan kerusi roda, selain turut mengidap penyakit darah tinggi, sakit buah pinggang, jantung, paru-paru dan saraf.

Lebih meruntun jiwa, akibat tidak mampu lagi menyara keluarga, bapa kepada seorang anak ini terpaksa berpisah dengan isterinya dan hidup sebatang kara.

“Saya tak tahu ke mana dan siapa harus saya minta bantuan untuk meneruskan hidup.

“Ini pun saya amat bersyukur pada Allah bulan Ramadan ini saya terima sumbangan wang zakat daripada MAIWP,” katanya.

Rozman ditemui selepas menerima sumbangan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

Pada program berkenaan, seramai 3,300 asnaf dan fakir miskin dari 11 Parlimen di bandar raya ini menerima wang zakat bernilai RM300,000 dari MAIWP.

Dr Zaliha menyerahkan bantuan wang tunai bernilai RM200 setiap orang kepada 300 asnaf termasuk anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan.

Baki 3,000 penerima sumbangan di Kuala Lumpur menerima agihan sumbangan secara berperingkat.

Rozman berkata, buat masa ini, dia malu hendak mengemis dan sedaya upaya berjimat dengan wang sumbangan diterimanya untuk rawatan di hospital.

“Saya sudah tiada ibu bapa, adik saya pula ada tanggungan yang perlu dia utamakan.

“Kehidupan saya kini bergantung sepenuhnya dengan sumbangan orang terutama jiran terdekat untuk makanan harian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top