F1 beri penghormatan kepada Eddie Jordan di GP China

F1 beri penghormatan kepada Eddie Jordan di GP China

Shanghai: Formula Satu (F1) akan memberikan penghormatan khas kepada mendiang Eddie Jordan, bekas pemilik pasukan Jordan Grand Prix, sebelum perarakan pelumba di Litar Antarabangsa Shanghai, esok.

Dalam upacara selama satu minit, semua pasukan akan berkumpul di grid di bawah podium, sebagai tanda penghormatan kepada figura penting dalam sejarah sukan itu.

Pasukan Aston Martin, yang mempunyai kaitan daripada pasukan Jordan Grand Prix yang diasaskan oleh Jordan pada 1991, akan menghormatinya dengan lambang daun shamrock Ireland bersama namanya pada jentera mereka sepanjang perlumbaan di Shanghai.

Jordan, yang dikenali sebagai individu berkarisma dan pencetus bakat dalam F1, menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun akibat kanser pada Khamis lalu.

Bekas pemilik hak komersial F1, Bernie Ecclestone, turut memberi penghormatan kepada sahabat lamanya itu, namun menegaskan dia tidak akan menghadiri pengebumian Jordan.

“Saya tidak pergi ke pengebumian. Saya mungkin tidak akan pergi ke pengebumian saya sendiri. Eddie juga pasti tidak akan hadir ke pengebumian saya. Jadi, semuanya adil. Begitulah Eddie,” katanya kepada Daily Mail dengan nada berseloroh, mengenangkan karakter unik Jordan dalam dunia F1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top