Jepun gusar kehilangan Mitoma di Piala Dunia

Jepun gusar kehilangan Mitoma di Piala Dunia

London: Pemain sayap Jepun, Kaoru Mitoma berdepan kemungkinan terlepas aksi Piala Dunia 2026 selepas disahkan tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Brighton & Hove Albion musim ini.

Mitoma mengalami kecederaan hamstring ketika Brighton menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-0 minggu lalu.

Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu dijadual mengumumkan skuad Piala Dunia, esok.

Ketiadaan Mitoma pasti menjadi tamparan hebat buat Jepun yang memburu kemaraan melepasi pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam sejarah.

Pemain itu sebelum ini muncul wira Samurai Biru apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan England 1-0 di Wembley pada Mac lalu.

“Berkaitan Piala Dunia, saya masih belum pasti. Kami akan terus berhubung dengan persekutuan bola sepak Jepun.

“Kami perlu bersabar dengan kecederaan ini dan belum dapat memberikan tempoh sebenar pemulihannya.

“Dia akan terlepas dua perlawanan terakhir kami. Ia berita sedih buat Kaoru kerana dia sedang berada pada prestasi terbaik dan memberi impak besar kepada pasukan,” kata pengendali Brighton, Fabian Hurzeler.

Jepun akan membuka kempen Piala Dunia menentang Belanda di Arlington, Texas pada 14 Jun.

Mereka turut dijadual berdepan Tunisia dan Sweden dalam saingan Kumpulan F.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top