Paris: Erling Haaland menemui sasaran untuk Norway ketika mereka memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan kemenangan 5-0 ke atas Moldova, awal pagi tadi.
Penyerang Manchester City itu bertekad untuk membantu negaranya layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998.
Norway memulakan saingan Kumpulan I dengan sempurna di Chisinau menerusi kemenangan bergaya.
Mereka berada di hadapan seawal minit kelima menerusi jaringan Julian Ryerson sebelum Haaland menggandakan kelebihan pada minit ke-23 dengan gol ke-39 bersama skuad kebangsaan Norway.
Haaland, yang dikeluarkan pada minit ke-78, kini sudah meledak 37 gol untuk kelab dan negara musim ini, dengan 29 daripadanya bersama Manchester City.
Thelo Aasgaard, Alexander Sorloth dan Aron Donnum turut mencetak nama sebagai penjaring dalam kemenangan meyakinkan itu.
Norway akan kembali beraksi pada Rabu ini apabila mereka menentang Israel di Hungary.
Sementara itu, Wales menewaskan Kazakhstan 3-1 untuk meneruskan usaha mereka layak ke Piala Dunia.
Wales di bawah bimbingan Craig Bellamy memburu penampilan kedua berturut-turut di pusingan akhir Piala Dunia selepas mereka berjaya mara pada edisi 2022 di Qatar.
Wales yang menduduki Kumpulan J, mendahului selepas sembilan minit menerusi gol pemain sayap Leeds United, Daniel James.
Kazakhstan, yang berada di tangga ke-110 dalam ranking Fifa, kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Askhat Tagybergen.
Kapten, Ben Davies meledak gol kedua untuk Wales sebelum Rabbi Matondo yang masuk dari bangku simpanan melengkapkan kemenangan Wales.
“Kami bercakap sepanjang minggu mengenai permulaan yang baik dan itulah yang kami lakukan malam ini.
“Sangat penting untuk mendapatkan kemenangan malam ini dan meneruskannya pada aksi seterusnya,” kata James kepada BBC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




